Selepas kejayaan pertamanya, penerbit Studio Kembara Abdul Rahman Mt Dali mengesahkan pengarah Syamsul Yusof, pelakon Datuk Adi Putra dan Beto Kusyairy tidak akan terlibat dalam prekuel filem berkaitan Mat Kilau.

Abdul Rahman memberitahu perkara itu disebabkan watak Adi dan Beto tidak diperlukan dalam prekuel tersebut manakala ketiadaan Syamsul kerana ingin memberikan peluang kepada pengarah baharu yang berbakat.

“Yang saya yakin, sebahagian mereka akan kekal dalam prekuel. Itu saja yang boleh saya cakap. Ada beberapa pelakon yang pihak kami sudah ‘chop’ dengan pengeras.

“Tapi Adi Putra dan Beto tidak akan terlibat dalam prekuel tersebut kerana watak mereka masih belum diperlukan memandangkan jalan cerita juga tidak membabitkan mereka.

“Untuk Syamsul pula, kami tiada masalah cuma kali ini kami bercadang untuk memberi peluang kepada pengarah lain untuk berkarya bersama Studio Kembara selain memeriahkan lagi industri,” katanya kepada Gempak.

Abdul Rahman ditemui ketika majlis santai bersama media di MZ D’Tasik Seafood Restauran, Bandar Baru Bangi, pada Khamis.

Prekuel filem itu dijangka akan menjalani penggambaran sekitar hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut memaklumkan hubungan pihaknya dengan para pelakon tiada masalah.

“Pihak kami dan mereka tiada masalah. Belum ada kesempatan untuk berjumpa sebab masing-masing sibuk. Lagipun kami profesional… benda tak ada apa-apa, kenapa nak buat ada apa-apa.

“Kena ada kematangan melihat benda tu. Saya tak ada apa masalah dan mereka pun begitu. Bukan nak elak sebab ada masalah,” ujarnya.

Sejak ditayangkan, filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mendapat kutipan RM97 juta di Malaysia, Singapura dan Brunei.