Orang ramai menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung peralihan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) melibatkan negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya bermula 10 Spetember ini.

Rata-rata mengucapkan terima kasih kepada PM kerana memberi kelonggaran kepada individu lengkap dua dos vaksin di Lembah Klang.

Pada masa sama, pengikut laman sosial Instagram (IG) Ismail Sabri juga saling mengingati dan berpesan supaya warga Lembah Klang sentiasa patuh kepada SOP ditetapkan.

"Jangan leka dan terus jaga SOP."

"Syukur Alhamdulillah. Tapi SOP kena jaga ya...Manalah tahu selepas ini kita dapat merentas negeri pula," antara komen yang ditulis pengikut.

Dalam pengumuman yang dilakukan Ismail Sabri semalam (Rabu), sekatan jalan raya (SJR) juga tidak akan dilaksanakan di tiga negeri terbabit.

“Saya pasti ini adalah satu berita yang dinantikan terutamanya seluruh warga Lembah Klang yang telah memberi kerjasama dengan amat baik sekali.

“Dengan ini, kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada kawasan Lembah Klang untuk beralih ke Fasa 2.

“Teruskan #KeluargaMalaysia,” katanya.

Antara kelonggaran lain yang dibenarkan untuk individu lengkap dua dos vaksin di negeri-negeri Fasa 2 ialah:

* Kebenaran merentas daerah
* Tiada sekatan jalan raya (SJR) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya
* Pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan untuk merentas negeri;
* Ibu bapa dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka yang berusia di bawah 18 tahun;
* Dine-in dibenarkan di premis makanan untuk pelanggan yang lengkap menerima dua dos vaksin;
* Aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama yang melibatkan penginapan di hotel dan rumah inap;
* Aktiviti sukan terbuka dan tertutup dibenarkan beroperasi kecuali gimnasium;
* Fasiliti sukan terbuka dan tertutup dibenarkan beroperasi secara janji temu dan mengikut SOP; dan
* Kelonggaran tambahan bagi aktiviti kedai gunting, hairdresser dan salon kecantikan dibenarkan.