Episode akhir drama terhangat yang menghiasi slot Mega Drama di Astro Ria, Syurga Itu Bukan Mudah (SIBM) telah bersiaran semalam.

Dalam kalangan peminat dan penonton, ramai tertanya-tanya tentang kemungkinan akan adanya musim kedua bagi SIBM.

Bagi pelakon utamanya, Amir Ahnaf kemungkinan untuk kesinambungan SIBM itu ada, namun, tiada lagi pengesahan tentang perkara itu daripada pihak produksi.

“Fadhli Masoot (memegang watak Arman) selalu bergurau, SIBM untuk raya maybe insya-Allah akan ada.

“Tapi saya tidak pasti lagi sebab setakat ini tiada lagi sebarang draft, jadi mungkin akan ada SIBM 2 atau mungkin ada kolaborasi lain yang mengeluarkan tajuk yang baru,” katanya kepada Gempak.

Amir berkata demikian ketika ditemui pada acara Virtual Watch Party episod akhir bagi drama tersebut semalam.

Berita Trending: Penangan Syurga Itu Bukan Mudah, Anna Jobling Berpuas Hati Hasil Lakonan Diterima Baik Peminat

Selain itu, Amir turut meluahkan rasa bersyukur kepada penonton yang memahami konteks dan nasihat yang ingin disampaikan menerusi drama tersebut.

“Alhamdulillah, penceritaan itu sampai kepada penonton dan saya bersyukur sebab ramai orang dapat pandang watak Farid dan terima nilai nilai murni yang secara tersirat ingin disampaikan menerusi SIBM,” katanya lagi.

Sekadar info, drama arahan Eyra Rahman ini menceritakan tentang realiti perkahwinan yang musnah akibat hubungan toksik daripada pasangan suami dan isteri yang menggambarkan kehidupan dua dunia yang berbeza di bawah satu bumbung yang sama.

Antara barisan pelakon lain yang turut membintangi drama ini termasuk Fadhli Masoot, Alya Iman, Dynas Mokhtar, Dian P. Ramlee dan ramai lagi.