Filem arahan Nazir Jamaluddin, Jangan Takut: Kau Takut...Aku Pun Takut (JTKTAPT) telah menjengah pawagam rumah anda menerusi Astro First mulai semalam.

Menariknya tentang filem ini, ia mengisahkan cerita seram yang mungkin tidak membuatkan anda takut tidur malam!

Manakan tidak, genre JTKTAPT adalah komedi seram, jadi, penceritaannya tidaklah terlalu berat dan pasti membuatkan penonton tak kering gusi.

Malah, ada juga warganet yang sudah menjangka JTKTAPT merupakan satu filem lawak selepas menonton trailer rasminya di YouTube baru-baru ini.

"Jangan Takut: Kau Takut...Aku Pun Takut, hmmm...nak takut ke nak gelak, nama tajuk pun dah lawak, mesti tengok!" tulisnya.



Filem ini menampilkan trio Mark Adam, Amerul Affendi dan Shuk Sahar selaku teraju utama.

Bukan itu sahaja, JTKTAPT turut dibintangi oleh Tasha Shilla, Wan Hanafi Su, Bell Ngasri, Jasmin Hamid, Ropie, Dalimawati dan ramai lagi.

Sedikit mengenai jalan cerita filem ini, ia mengisahkan tentang tiga sahabat karib, Sarip, Dol dan Leman yang sangat nakal dan sering mencuri serta menyakat penduduk kampung.

Sikap mereka membuatkan keluarga masing-masing menanggung malu. Mereka juga gagal mencuri di rumah Tok Bomoh dan dihalau oleh keluarga masing-masing.

Selepas itu, Dol dan Leman bertekad pindah ke Kuala Lumpur, pelbagai kejadian berlaku dalam perjalanan mereka terutamanya ketika mereka bermain permainan kongsi kisah seram dalam kereta yang ditumpang.

Nak tahu lebih lagi? Jangan lupa menonton JTKTAPT okay!

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.