Bekas ahli kumpulan In-Team Suhaimi Saad mengumumkan dia kini sudah meletak jawatan sebagai penyanyi nasyid berkuatkuasa semalam (2 Jun).

Suhaimi atau nama sebenarnya Mohd Suhaimi Saad enggan digelar mahupun dipanggil dengan panggilan ustaz selepas ini oleh orang ramai.

Malah katanya, sekiranya individu terbabit masih bersikap degil dengan memanggil dirinya ustaz, dia tidak teragak untuk menyekat (block) di media sosial.

"SS (Suhaimi Saad) letak jawatan sebagai penyanyi nasyid. Tak perlu panggil Ustaz. Panggil SS atau Mie je. Siapa degil, SS akan kompaun dan block,” tulisnya.

Dalam pada itu, suami kepada penyanyi Ina Naim turut memberi amaran kepada golongan haters supaya menjauhkan diri serta tidak lagi menggangu kehidupannya.

"Lepas ni sapa mintak lagu In-Team masa live, SS akan block. Haters, sila berambus. Aku tak selera dan tak ada masa nak layan korang," tulisnya lagi.