Berita
"Tak Mahu Ambil Risiko...Duduk Rumah Lain" - Wany Hasrita Diarah Pakai Gelang Pink, Jalani Kuarantin Wajib
Penyanyi Wany Hasrita memaklumkan bahawa dia kini perlu menjalani tempoh kuarantin wajib selama 14 hari selepas menjadi kontak rapat kepada penyanyi Alif Satar yang disahkan positif baru-baru ini.
Bahkan, menurut Wany dia juga dikehendaki untuk memakai gelang berwarna pink sebagai salah satu prosedur operasi standard yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.
"Semalam saya kena pakai gelang pink sebab nama saya naik sebagai kontak rapat. Jadi, saya kena pergi klinik kesihatan untuk memakai gelang dan menerima surat kuarantin," katanya ketika dihubungi Gempak.
Menurut Wany lagi, dia juga membuat keputusan untuk tinggal berasingan dengan ahli keluarganya buat sementara waktu sepanjang tempoh kuarantin.
"Sebenarnya boleh sahaja duduk di rumah sendiri, namun, di rumah saya ada ibu. Ibu pun sudah berusia jadi, saya tak mahu ambil risiko itulah.
"Nisa (pembantu peribadi) pun di rumahnya ada keluarga, jadi kita buat keputusan untuk duduk di sebuah rumah lain. Jadi, sekarang ini, saya berdua sahaja dengannya di rumah," katanya.
Terdahulu, menerusi satu hantaran di Instagram Wany turut memuat naik gambar dirinya yang memaparkan dirinya memakai gelang pink.
Foto tersebut kemudian menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen yang mempersoalkan status Wany yang memakai gelang tersebut.
Wany bakal menjalani ujian Rapid Test Kit (RTK) antibodi pada 3 Disember depan.
“Kalau ujian tersebut negatif, dah boleh potong gelang dan tidak perlu kuarantin lagi,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Wany ini merupakan kali kedua dia terpaksa berjauhan dengan ibunya bagi tempoh yang agak lama.
"Sebelum ini, ketika saya pergi haji, yang ni kali kedua berjauhan. Tapi sebenarnya kalau ibu nak datang, boleh je cuma dari luar rumah sahajalah hantar barang, tak boleh jumpa," ceritanya yang kini tinggal di sebuah rumah berasingan di Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Menurut Wany lagi, sepanjang tempoh kuarantin ini juga dia menghabiskan masa untuk menyelesaikan segala kerja yang melibatkan platform media sosialnya.
"Barang-barang dapur memang ada seorang kawan yang hantarkan. Jadi, setiap hari kami masak atau dia tolong bungkuskan.
"Sekarang ni kira kerja dari rumah sahajalah. Selesaikan mana-mana review yang perlu dibuat di media sosial," katanya.
Sebelum ini, Wany terlibat dalam sebuah program hiburan yang turut dihadiri penyanyi Alif Satar yang disahkan positif jangkitan Covid-19.
Ekoran insiden tersebut, sejumlah besar artis yang terlibat menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mengetahui status kesihatan diri masing-masing.
Must-Watch Video