Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Tak Mahu Diganggu Bekas Suami, Fasha Sandha Fail Injuksi

Mya Amri
27/03/2017 12:21 MYT
Aktres Fasha Sandha telah memfailkan perintah injuksi untuk menghalang bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli (Jejai) daripada mengganggu privasinya.

Permohonan tersebut dilakukan oleh Fasha pada Isnin (hari ini).

Menerusi permohonan tersebut, Fasha telah memohon Mahkamah Tinggi Syariah di sini menghalang responden daripada mengganggunya secara percakapan, termasuklah mesej melalui SMS, aplikasi Whatsapp atau di laman sosial serta merta.

Selain itu, Fasha selaku pemohon juga ingin mendapat perintah mahkamah supaya menghalang responden daripada menceroboh privasinya sama ada secara bersendirian, ditemani keluarga atau rakan-rakan.

Bagaimanapun mahkamah menolak untuk mendengar permohonan injuksi pencegahan secara ex-parte (sebelah pihak) yang dibuat pelakon itu.

Sebaliknya, Hakim Syarie, Muhammad Abdul Karim Wahab memerintahkan kes itu didengar dengan kehadiran dua belah pihak bagi membolehkan Jejai menjawab sendiri tuduhan yang dibuat terhadapnya.

"Walaupun mahkamah berpuas hati dengan afidavit yang difailkan pemohon namun adalah lebih adil mahkamah memberi peluang kepada responden sendiri untuk menjawab semua dakwaan," katanya.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 33, diwakili peguam syarie Zulkifli Che Yong.

Dalam pada itu, pada prosiding sama, Fasha turut memohon notis tunjuk sebab terhadap Jejai selepas dia dikatakan gagal mematuhi perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 20 Januari tahun lalu berhubung pelantikan pemegang amanah terhadap sebuah kediaman di Ampang, Selangor.

Menerusi afidavit yang dikemukan, responden didakwa gagal melaksanakan perintah dengan tidak menandatangani surat ikatan pemegang amanah seperti dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Dalam perintah tersebut, pemohon mendapat hak sebanyak 50 peratus terhadap rumah itu manakala selebihnya milik dua anak mereka.

Muhammad Abdul Karim berpuas hati dengan permohonan itu dan memerintahkan notis tunjuk sebab diserahkan kepada defendan dan menetapkan 17 April sebutan semula kedua-dua kes itu.

Terdahulu, Fasha dan Jejai telah bernikah pada 27 April 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal, 3, dan Putri Raysha Jemyma, 2.

Pasangan itu sah bercerai pada 20 Januari 2016.

Sumber: Mstar Online
#pelakon #Fasha Sandha #Pelakon #Mahkamah
;