Penyanyi yang mula menjinakkan diri dalam bidang lakonan, Nabila Razali tidak bersedia untuk melakonkan watak antagonis buat masa ini.

Menurut Nabila, dia gembira kerana lakonannya mendapat penerimaan positif dari peminat.

"Alhamdulillah, saya sedang berjinak dalam bidang lakonan, saya juga gembira kerana penerimaan dari peminat juga memberangsangkan.

"Buat masa ini, saya selesa melakonkan watak baik sahaja dan belum sedia melakonkan watak jahat, saya pun masih baru, banyak perkara yang harus dipelajari," katanya kepada Gempak baru-baru ini.

Tambah Nabila, meskipun tidak melakonkan watak antagonis, dia lebih menyukai watak baik yang mempunyai elemen memperkasakan wanita (women empowerment).

"Saya akan teroka lebih lagi watak yang boleh saya lakonkan, watak baik tak semestinya ditindas, saya lebih suka watak yang menyelitkan unsur memperkasakan wanita," ujarnya lagi.

Sekadar info, Nabila mula memasuki industri hiburan tanah air selepas menyertai program Akademi Fantasia 2013 (AF2013) dan berjaya membina namanya sehingga kini.