Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Tak Nak Peminat Bazir Duit Mengundi, Siti Khadijah Hanya Perlu Sokongan Peminat Untuk Terus Berada Dalam Industri - "Saya Tak Nak Berlakon Sampai Tua Sangat..."

Asyraf Roslan
07/09/2024 03:55 MYT
Tidak pernah menganggap diri popular, pelakon Siti Khadijah berkata dia enggan meletakkan harapan yang tinggi dalam kerjaya seninya terutama hal yang berkaitan dengan anugerah.


Malah, Siti juga memberitahu dia tidak mahu peminat mengeluarkan wang untuk mengundinya sebaliknya hanya inginkan sokongan yang setia sehingga ke penghujung karier yang disasarkan pada usia 50 tahun.

“Saya tidaklah popular... saya cuma ada sokongan yang kuat daripada peminat. Saya beritahu peminat jangan membazir undi saya.

“Sebelum ini, saya selalu ingatkan kepada mereka, setiap kali tibanya hari jadi saya, jangan beli apa-apa. Bagi saya, peminat ada bersama pun sudah cukup... selain sokong dan tengok drama saya.

“Saya hanya harap peminat sokong karier lakonan saya sehingga usia saya 50 tahun,” ujar Siti Khadijah kepada Gempak.

Siti Khadijah yang popular dengan drama Aish dan Ash juga menyatakan antara sebab dia memilih untuk berhenti berlakon pada usia 50 tahun kerana mahu memberi peluang kepada pelakon baharu untuk menyinar.

“Saya tak nak berlakon sampai tua sangat, nanti saya lupa dialog saya menyusahkan orang lain.

“Kalau boleh saya nak kerja keras sekarang dan nak bagi orang lain pula ganti saya nanti. Masa saya sampai situ sahajalah dalam bidang lakonan.

“Bukan saya tak minat, lakonan adalah minat saya tapi saya nak bagi dekat orang lain pula,” tambahnya.

Siti Khadijah ditemui ketika penggambaran Rahsiamu Selamat Denganku baru-baru ini.

Selain Siti, drama itu turut dibintangi oleh Alvin Chong, Fadhlan Hazim, Adriana Adnan, Haziq Dean dan finalis Hero Remaja 2024, Azri Safix.

#pelakon #Drama #Populariti #Siti Khadijah Halim