Bukan pertama kali, tapi sudah banyak kali bintang Hollywood, Jennifer Lopez dituduh memakai Botox. Apalagi usianya yang sudah mencapai 51 tahun dilihat tak 'sesuai' dengan penampilannya yang tidak dimamah usia.

Terkini, aktres tersebut sekali lagi dituduh memakai Botox oleh netizen selepas dia menampilkan wajahnya tanpa solekan sewaktu mempromosi produk terkini JLo Beauty iaitu masker yang diberi nama That Limitless Glow baru baru ini.

Dalam video yang dimuat naik di Instagramnya itu, J.Lo mengatakan tidak dapat melihat garis halus pada wajahnya sambil mendakwa hanya dalam masa 20 minit, dia telah memperoleh semula wajahnya 10 tahun lalu.

Menurut laporan media antarabangsa, pengakuan itu membuatkan beberapa netizen menuduh selebriti yang mesra dipanggil J.Lo itu telah memakai Botox.

"Anda pasti telah memakai Botox. Dengan banyak sekali. Dan semuanya pun nampak elok. Just saying," tulis seorang netizen.

Tak tunggu lama, J.Lo pun menjawab dakwaan tersebut. Sambil memulangkan semula kata 'just saying' kepada netizen itu, J.Lo menyangkal dirinya memakai Botox atau pernah melakukan pembedahan plastik pada wajahnya.

"Ini wajah saya!!! Untuk 500 juta kalinya, saya tidak pernah memakai Botix atau mengambil suntikan atau melakukan pembedahan plastik!!" tegas J.Lo.

Dia malah mengesyorkan agar netizen menggunakan produk kecantikannya dan meninggalkan pesan 'makan dalam' kepada mereka.

"Ini juga adalah rahsia kecantikan J.LO. Cubalah berfikiran lebih positif, menjadi orang yang baik dan memberi semangat sesama kita.

"Jangan buang masa anda dengan menjatuhkan orang lain kerana itu akan membawa sekali usia muda dan kecantikan anda! Salam penuh cinta dari saya," pesannya sambil meninggalkan tagar
#beautyfromtheinsideout #beautyhasnoexpirationdate.

Instagram: @Jlo