Viral
"Tak Patut Guna Penyodok, Baldi Dalam Penyediaan Makanan" - Pakar Kesihatan
Orang ramai diingatkan supaya tidak menyediakan makanan menggunakan peralatan rumah seperti penyodok, baldi, akuarium, tong sampah atau seangkatan dengannya konon ingin menampilkan sisi kreatif masing-masing.
BERITA TRENDING: Hidang 'Shell Out' Guna Penyodok Pasir, Netizen Rasa Tak Selesa! - "Kita Ada Adab Terhadap Makanan"
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, ia kerana kandungan dalam perkakas rumah itu mempunyai sebatian kimia seperti plumbum yang mampu menjejaskan fungsi organ tubuh.
“Trend guna penyodok, baldi dan lain-lain dalam penyediaan makanan boleh dikatakan kegilaan melampau zaman sekarang.
“Peralatan yang bukan untuk kegunaan makanan ada risiko pencemaran kimia.
“Bukan itu sahaja, mungkin peralatan ini juga pernah terdedah kepada kuman contohnya najis tikus, lalat dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.
BERITA TRENDING: Peniaga Yang Guna Nama Shell Out Tanpa Kebenaran Bakal Didakwa
Sebelum ini, heboh satu video di media sosial TikTok memaparkan dua pekerja restoran menggunakan penyodok untuk membawa makanan ke meja pelanggan.
Kejadian tersebut difahamkan berlaku di sebuah kedai makan di Aceh Tenggara dan berdasarkan video itu, pekerja dilihat membawa makanan laut untuk dihidangkan persis seperti sajian ‘shell out’.
Pada 2023, pernah berlaku kejadian sama iaitu pengusaha pasar malam menggunakan akuarium sebagai pengganti balang air hingga mencetuskan amarah warga maya.
Mengulas lanjut, Zainal Ariffin berpandangan, meskipun ia tidak berlaku di Malaysia, idea sebegitu tidak wajar dinormalisasikan kerana ia berpotensi menjadi ikutan ramai.
Tambahnya, pengusaha wajib mengikut segala peraturan ditetapkan tentang tatacara penggunaan peralatan yang sebenar.
“Ini jelas satu budaya yang buruk dan tidak boleh dijadikan ikutan,” ujar beliau ringkas.