Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang arahan pengarah tersohor Mamat Khalid telah menemui penonton bermula 15 April yang lalu.

Sudah mencecah kutipan sebanyak RM3 juta dalam masa 10 hari tayangan di Astro First, ramai wargamaya memberikan pujian terhadap pengarah tersohor Mamat Khalid kerana berjaya tampil dengan filem komedi sarat pengajaran.

Menerusi laman sosial Facebook, wargamaya berkongsi pendapat mereka tentang idea Mamat Khalid yang menggabungkan 16, 17 Puasa dan drama Kampong Pisang Bersiri-Siri ini.

“Mamat Khalid je yang masih perjuangankan cerita-cerita rakyat. Dekat dengan diri kita dan mudah diterima. Tak perlu pelakon yang handsome cantik, tak perlu watak Dato Papa Mama bisnes projek juta-juta, tak perlu kereta mewah,” komen seorang wargamaya.

“Mamat khalid terbaik. Muka tak perlu handsome,cantik. apa yang penting bakat dan boleh bawa watak yang diberi,” puji seorang wargamaya.

“Satu lagi Mamat Khalid ni, filem dia memang tak banyak modal tempat dia shooting, tengok filem Man Laksa tu, dari awal sampai akhir kisah dia kat tempat yang sama je, tapi best dan kelakar. Tak perlu guna banyak tempat,” ujar seorang wargamaya lagi.

Filem ini masih mengekalkan pelakon Kampong Pisang Bersiri-siri antaranya Barkoba (Bell Ngasri), Pak Din (Kazar Saisi), Pak Karim (Mat London), Pak Jabit (Aziz M Osman), Cik Purnama (Dewa Sapri), Daud M (Joey Daud) Faguha Jabar (Rashid Othman), Ahmad Yasin (Ahmad Yasin) dan Yah Kuchei (Afea Deana).

Selain itu, filem ini turut dimeriahkan dengan penampilan karakter istimewa seperti Tyson 1 (Namron), Tyson 2 (Jaafar Onn), Kiambang (Siti Elizad Mohamad Sharifuddin), Ustaz Kazim (Datuk Ustaz Kazim), Ayahanda Rani Kulop (Rani Kulop), Manap Sengau (Yeop Hitler), Penjaga Neraka (Man Raja Lawak) dan ramai lagi.

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan.

Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, dia telah didatangi si iblis yang membawanya kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Tonton filem komedi sarat mesej ini Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 mulai 15 April 2021.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.