Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Tak Pernah Terheret Kontroversi Rumah Tangga, Zarul Umbrella Belajar Elak Kongsi Masalah Di Media Sosial - "Isteri Pun Faham & Bertoleransi..."

Amri Hassan
15/01/2023 01:55 MYT
Pelakon dan penyanyi Zarul Umbrella sentiasa berpegang teguh pada prinsip untuk tidak berkongsi perihal peribadi dan rumah tangga di media sosial.

Sikap yang diasuh sejak mula menceburkan diri sebagai anak seni itu juga mengurangkan risiko untuk terpalit dengan kontroversi membabitkan kisah peribadi.

"Mungkin sebab saya jarang kongsikan fasal keluarga, isteri pun faham dan bertoleransi dengan kerjaya saya sekarang. Ini resam artis, ada pasang surut juga, akan ada benda tak elok yang akan didengari orang luar.

"Alhamdulillah syukur juga saya tak terlibat dengan kontroversi hangat (berkaitan rumah tangga).

"Prinsip saya, jangan dikenang, jangan dikongsi. Apa perlu disimpan kita simpan...," katanya kepada Gempak.

Zarul ditemui pada majlis pelancaran program YEG Sambung Belajar 2023 di Putrajaya pada Sabtu.

Tambah Zarul lagi, biarpun kerap membintangi naskhah melibatkan isu poligami, isterinya, Intan Nur Fatihah sangat memahami kariernya.

"Sebelum ini pun ada yang tanya wife okey ke bila saya berlakon drama melibatkan isu poligami? Sehingga sekarang isteri sangat memahami dari Syurga Yang Kedua, dia dah lali dah.

"Kebetulan drama terbaharu Nikah Cerai Rujuk pun, mungkin akan jadi panas dengan kisah sekarang.

"Sebenarnya itu realiti, kalau tak orang takkan buat drama. Drama itu berdasarkan kisah realiti.

"Sangat sukar... susah nak cakap, saya tak layak nak nasihatkan semua orang. Cuma apa boleh saya katakan, ambillah semua yang dalam lakonan yang tak elok itu jadikan pengajaran. Jauhkan, ambil mana yang elok saja," nasihat Zarul lagi.

Dalam pada itu, Zarul yang dilantik sebagai felo di pusat latihan teknikal Meatech memberitahu tugasnya adalah berkongsi pengalaman sebagai 16 tahun bergelar pramugara.

"Saya bukan tenaga pengajar, hanya berkongsi pengalaman menerusi sesi yang disusun mengikut jadual. Apa yang dikongsikan adalah pengalaman sepanjang 16 tahun saya dalam bidang penerbangan.

"Dalam setiap sesi, saya banyak menerapkan tentang keikhlasan menjalankan tugas dalam mana-mana bidang dan kepentingan berkomunikasi dengan orang sekeliling," ujarnya.

Meatech adalah institusi yang bekerjasama dengan YEG Academy Sdn Bhd yang menyediakan platform kepada lepasan SPM untuk membuat pilihan sebelum menyambung belajar di peringkat diploma.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.

#pelakon #Penyanyi #Zarul Umbrella #Kontroversi #Rumah tangga #YEG Academy
;