Pelakon Sharnaaz Ahmad, 36, menyatakan dia sudah berjaya mengenal pasti 100 keluarga yang memerlukan bantuan selepas terkesan akibat penularan COVID-19.

Menurut Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad berkata dia akan mula mengagihkan bantuan makanan tersebut pada hari Jumaat.

"Alhamdulillah dah dapat 100 keluarga untuk dihulurkan bantuan. Jumaat ini kami akan mula agihkan dari pukul 3 sampai 6 petang.

"Saya tau masih ramai lagi yang minta bantuan. Insya-Allah dengan derma yang dimasukkan ke akaun itu, minggu depan kami akan beli lagi.

"Kami akan beli barangan baby iaitu susu dan keperluan asas makanan serta pampers untuk orang tua," katanya menerusi rakaman video di Instagram (IG).

Sebelum ini, Sharnaaz bersama pasukan Mamu Legacy dan Sharnaaz TV telah menyediakan 100 pek barangan keperluan harian kepada golongan bendera putih yang terjejas.



Dalam pada itu, pelakon filem Jebat menegaskan sumbangan ini bukan hanya terhad kepada orang Melayu sahaja tetapi tergolong untuk semua kaum dan agama.

"Ingat ya sumbangan ini bukan orang Melayu sahaja.. Cina, India, semua akan bagi sama rata. Mereka manusia juga.

"Terima kasih sangat untuk yang menderma walaupun RM1, RM2, ada sampai RM300 kerana nak support kempen kibar bendera putih yang memerlukan bantuan. Allah sahaja yang mampu balas," katanya lagi.

Kepada mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Hong Leong Bank (Fizahan Samudah) di 19300055639.

Terdahulu, rakyat Malaysia tampil dengan satu kempen yang dipanggil #BenderaPutih di platform media sosial bermula Isnin.

Inisiatif itu bertujuan untuk membantu golongan yang terkesan akibat pandemik terutamanya yang putus bekalan makanan dan memerlukan bantuan segera sekaligus mendapat sokongan dalam kalangan rakyat.