Hanya disebabkan tidak berimej seksi, pengacara Hani Fadzil mendedahkan dia tidak diterima menjadi hos oleh ‘client’ yang lebih memilih penampilan berbanding bakat.

Hani berkongsi perkara tersebut menerusi laman Twitter miliknya dengan turut memuat naik perbualan mesej mengatakan pihak tersebut hanya mahukan hos berimej seksi.

“Hani, ini tak jadi. Mereka nak host (pengacara) dengan imej seksi,” tulis mesej tersebut.

Pada perkongsian sama, Hani memberitahu selalunya dia tidak menerima tawaran disebabkan pengikut di laman sosial tidak mencukupi.

“Tak dapat job sebabkan bakat saya (X), tak dapat job sebab tak seksi (/). Macam ini pun boleh. Selalu tak dapat job sebab tak cukup followers. Ini tak seksi pula,” kata Hani.

Tidak menjangkakan pendedahannya menjadi bualan hangat, Hani berkata dia memahami setiap pihak mempunyai keutamaan dalam memilih siapa yang mereka mahukan.

Biarpun pernah ditolak gara-gara wajah tidak cukup cantik dan pengikut laman sosial kurang, namun Hani menegaskan dia tidak akan pernah berputus asa dalam mencari rezeki.

“Tak sangka benda ini akan menjadi kecoh. Perkara itu saya faham bahawa sesetengah pelanggan mempunyai keutamaan mereka sendiri. Terasa nak berkongsi kerana inilah realiti yang kita hadapi.

“Saya juga pernah dapat ‘sorry tak cukup followers’, ‘sorry you bagus tapi tak cukup cantik’ sebelum ini. Tapi saya tidak akan pernah putus asa,” jelas Hani.

ARTIKEL BERKAITAN: "Mengejek Bukan Savage, Itu Biadab!" - Hani Fadzil Bidas Tindakan Melampau Pelakon Wanita Ejek Bintang K-Pop