HIBURAN
Tak Sokong Sekolah Mahal Lebih Bagus, Nad Zainal Hantar Anak Ke Sekolah Kerajaan - "Pendidikan Awal Di Rumah Lagi Penting"
Pelakon Nad Zainal tidak melihat sebarang masalah jika ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerajaan.
BERITA TRENDING: Nad Zainal Anggap Hantar Anak Sekolah Kerajaan Lebih Jimat - “Yang Penting Ikut Kemampuan…”
BERITA TRENDING: Dilabel Sebagai Wajah ‘Awam’, Nad Zainal Bersyukur - “Sebab Muka Awam Kau Selalu Dapat….”
Menurut Nad, atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 34, sekolah kerajaan telah terbukti mampu melahirkan individu cemerlang serta golongan profesional.
"Saya rasa tidak menjadi masalah pun nak hantar anak ke sekolah kerajaan. Seluruh ahli keluarga saya pergi sekolah kerajaan. Suami saya pun punyai lulusan luar negara bermula daripada sekolah kerajaan.
"Saya tak nampak perkara ini sebagai satu masalah. Kita tak boleh memandang rendah kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah kerajaan atau sekolah yang yurannya lebih murah berbanding sekolah swasta," ujarnya kepada Gempak.
Nad berkongsi pandangannya ketika ditemui di acara Fipper x Bayu Somerset di KL East Mall, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Mengulas mengenai persepsi bahawa sekolah swasta lebih baik, isteri kepada aktor Ungku Ismail ini menegaskan bahawa pendidikan terbaik bermula dari rumah.
“Saya dan suami sangat tegas dalam pendidikan anak-anak. Kami hadkan penggunaan gajet dan televisyen. Jika mereka berjaya mencapai sesuatu atau memperoleh pencapaian yang baik di sekolah, barulah kami beri ganjaran.”
“Kalau ada yang kata sekolah mahal lebih bagus, saya rasa itu tidak benar. Jika di rumah tiada disiplin dan di sekolah pula terlalu dimanjakan, tiada beza walau berapa mahal pun yurannya," katanya.
Dalam masa yang sama, Nad juga mempertimbangkan faktor kewangan dalam menentukan pendidikan terbaik buat anak-anaknya.
“Saya hanya seorang pelakon. Ada pasang surut dalam industri ini. Jika kita hantar anak ke sekolah swasta tetapi pada masa depan tidak lagi mampu, pelajaran mereka mungkin terjejas.”
“Saya yakin sekolah kebangsaan masih relevan. Ramai graduan sekolah kerajaan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan kini bergelar profesional," jelasnya.