Juara AF Megastar, Idayu tidak mengambil pusing seandainya ada pihak yang membandingkan nyanyian lagu tema Visit Malaysia 2020 dengan lagu-lagu rasmi tahun melawat Malaysia sebelum ini.

Kata Idayu, setiap penyanyi punyai gaya nyanyian tersendiri dan citarasa pendengar juga berbeza-beza saban waktu.

"Masing-masing punya citarasa. Kalau tengok komen yang telah dimuat naik oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), ada yang tak suka tapi banyak yang suka.

"Semua cakap sesuailah dengan 2020, tak kan nak lagu lembik-lembik lagi? Saya tak kisah kerana saya nyanyi mengkut genre lagu itu seperti yang dimahukan oleh komposer," ujarnya kepada Gempak.

Sebelum Idayu, lagu rasmi Tahun Melawat Malaysia pernah dinyanyikan oleh Liza Aziz (1990), Ella (2014) dan Datuk Seri Siti Nurhaliza (2012).

Lagu Visit Malaysia 2020 telah dilancarkan pada September 2019 dan dinyanyikan oleh Idayu dalam dua versi iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Lirik untuk lagu Bahasa Melayu ditulis oleh Normah Kechut dan Bahasa Inggeris oleh James PS Boyle manakala melodinya digubah oleh Dekan Muzik Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Ramlan Mohd. Imam.