Pelakon muda Scha Elinnea, 21, menegaskan duit yang digunakan untuk membeli kereta mewah berharga hampir RM200,000 seperti yang dimuat naik di Instagram berpunca daripada titik peluhnya sendiri.

Menafikan sumber kewangannya dari rezeki yang haram, tegas Scha dia berbangga apabila duit yang dikumpulnya sejak berusia 15 tahun akhirnya digunakan untuk membeli kereta idamannya baru-baru ini.

"Ada orang DM hantar komen, 'dia ni mesti ada orang bela', cuba fikir sendiri takkanlah tak boleh refleks, pada bulan Ramadan ini saya nak berikan duit haram kepada keluarga saya atau beli kereta guna duit haram? Saya takkan lakukannya!

"Tak kisah apa orang nak cakap, saya okey. Buat apa nak kisah pun. Orang yang kenal saya je tahu bagaimana susahnya saya mencari duit," katanya kepada Gempak.



Malah katanya, dia tidak menyusahkan keluarganya untuk mendapatkan barang yang dihajati seperti kereta dan rumah.

"Keluarga saya sederhana sahaja, bukan daripada orang kaya... Apa saya nak saya sendiri kena usahakan," tambahnya.

Jelas Scha lagi ramai yang senang serkap jarang terhadapnya tanpa mengetahui perihal sebenar di sebalik kejayaannya dan susah payahnya selama ini.

"Ramai orang tak tahu saya sudah mula bekerja dari umur 15 tahun lagi sebagai model, reviu produk kemudian bermula dua tahun lepas barulah mula menjadi pelakon.

"Sepanjang tempoh itu saya tak akan membelanjakan duit untuk benda-benda merepek dan tak penting misalnya beg, kasut mewah atau makan tempat mahal.

"Setiap bulan mesti ada simpanan demi mencapai impian saya iaitu memiliki kereta pada umur 21 tahun dan rumah sebelum usia 25 tahun," katanya yang turut menceburi bidang perniagaan.

Cerita Scha, dia hanya akan menggunakan 10 peratus daripada duit yang diperolehinya (model, reviu dan lakonan) untuk berbelanja dan selebihnya dimanfaatkan untuk simpanan.

"Orang tak tahu, saya pergi 3 set penggambaran pada satu-satu masa, saya tak cuti pun, orang tak nampak betapa susahnya nak uruskan duit," katanya.

Memilih model kereta Mercedes-Benz A-Class yang berharga hampir RM200,000 kata Scha, ia merupakan jenama kenderaan yang diidamkan sejak dari kecil.

"Sebab saya memang minat Mercedes sejak dari kecil lagi, suka tengok reka bentuk dan struktur. Model itu pun just nice dan sesuai untuk saya yang single dan tak kahwin lagi," katanya yang bakal meraikan lebaran bersendirian di Kuala Lumpur.