Hiburan
Takut Ketinggian, Ardell Cabar Diri Buat Terjunan Udara
Pelakon Ardell Aryana, 26, akui telah mencabar dirinya melakukan aktiviti sukan lasak, Paragliding untuk mengatasi masalah takut pada ketinggian.
“Saya memang nampak macam seorang yang lasak tapi sebenarnya tidak, kelemahan saya adalah ketinggian.
“Saya takut dengan ketinggian sebab itu saya cabar diri untuk lakukan Paragliding. Aktiviti ini merupakan antara perkara yang ada dalam ‘bucketlist’ saya.
“Saya rasa bangga bila berjaya lakukan. Mulanya memang rasa ragu-ragu, takut tu tak payah cakaplah, hanya tuhan saja yang tahu.
“Tapi saya paksa diri dan cakap saya boleh lakukan. Alhamdulillah selepas buat terjunan udara itu saya rasa okay. Cuma waktu berada di udara itu memang saya tawakal sajalah,
“Cabaran itu dilakukan ketika penggambaran rancangan travelog, Extreme Roadtrip pertengahan Ogos lalu dan saya merupakan salah seorang hos program tersebut.
“Sebab itu saya rasa rugi kalau tidak cuba aktiviti ini sebab bila lagi nak dapat peluang sebegini.
“Pada saya kalau tak cuba kita tidak akan tahu tahap kemampuan diri sendiri dan saya berterima kasih kerana memberi saya peluang untuk melakukan ‘bucketlist’ saya, katanya kepada Astro Gempak.
Mengulas mengenai aktiviti tersebut, Ardell memberitahu dia mengalami kecederaan dibahagian pergelangan kaki kanannya namun itu tidak mengahalang dirinya untuk meneruskan penggambaran.
“Syukur kecederaan saya tidak serius dan ini bukan kali pertama saya berdepan dengan keadaan seperti ini.
“Saya terjatuh dan kemudiannya terlanggar pokok, biasalah, nama lagi sukan lasak, mustahil kalau tak cedera, tapi doktor beri nasihat supaya berehat namun saya bertekad untuk teruskan juga penggambaran tersebut.
“Kru dan hos lain iaitu Sherry dan Elfira banyak membantu sehingga penggambaran selesai.
Extreme Roadtrip bersiaran setiap Sabtu di Astro Bella (saluran 133) dan Astro Mustika HD (saluran 134) bermula pada 1 Oktober lalu.
Teks oleh: Mya Amri