Penyanyi dan pelakon Adibah Noor mendedahkan dia tidak lagi menjadi duta kepada sebuah kedai perkakasan ‘buat sendiri’ terkenal tempatan.

Menerusi laman sosial Twitter, Adibah memaklumkan kontraknya bersama jenama itu sudah tamat pada Ogos tahun lalu.

“Gais gais, nak mintak tolong, boleh? Kalau ada lagi poster, standee I kat kedai barangan buat sendiri tu, boleh tak tangkapkan gambar dan lokasi dan tarikh?“Deme tak sepatutnya letak gambor I lagi. Contract ended august 2019. Kalau ada, bagi tau ya. Thanks semua,” tulis Adibah menerusi satu ciapan.

Difahamkan jenama tersebut masih lagi menggunakan gambar dan posternya di sesetengah premis mereka meskipun tempoh kontrak sudah tamat.

Sehubungan dengan itu, Adibah telah meminta jasa baik pengikutnya untuk mengambil foto jika ada gambar dan posternya yang masih diguna pakai di premis-premis berhampiran sehingga ke hari ini.

Tambahnya lagi, dia hanya mahu memperjuangkan hak kerana penggunaan gambar dan poster itu tidak seharusnya berlaku memandangkan dia tidak mendapat bayaran selepas Ogos 2019.

Meninjau ke ruangan komen, ramai wargamaya yang berkongsi informasi dengan pelantun lagu Terlalu Istimewa itu.

“Selalu nampak on the way dari Temerloh ke Karak. 2020 pun still ada lagi. Tak silap kat flyover Lanchang ke Karak. Ala PKPB ni tak boleh balik,” kata seorang wargamaya.

“Kak, Bandar Permaisuri masih ada. Gambar suruh pakai topeng,” komen seorang wargamaya.

“Dekat Seremban beberapa branch saya tengok masih ada, last week pergi sebelum PKPB. sekarang tak pasti la pulak, nak masuk red zone,” luah seorang wargamaya.

“Esok saya usha kat Tesco Setia Alam. Rasanya macam ada lagi je haritu lepas kerajaan dah benarkan kedai hardware beroperasi masa PKP,” tulis seorang wargamaya.

“Rasenya dekat AEON bukit raja, Klang ada lagi tak silap, tapi last tengok bulan 5/6 camtu masa PKP, nanti saya ambil gambar pm ke akak kalau pegi sana,” bantu seorang wargamaya lagi.

Sehingga kini, perkongsian Adibah tersebut telah menerima hampir 3,000 tanda suka daripada warga Twitter.

Terdahulu, Adibah mengikat kontrak sebagai duta bagi jenama perkakasan rumah terkenal itu selama dua tahun bermula pada tahun 2017.