Hiburan
Tampil Dengan Single Baru, Chubb-E Garap Kisah Benar, Sindiran & Inspirasi Dalam 'Padan Muka'
Nama penyanyi dan komposer muda, Chubb-E antara bakat baru yang kian meniti di bibir penggiat muzik tempatan.
Malah, karya yang dihasilkan mampu menarik perhatian masyarakat sekali gus berjaya mengumpul kelompok peminat tersendiri.
Memulakan langkah sebagai anak seni sejak 2014 ketika menyertai pertandingan realiti Ceria Pop Star musim kedua, Chubb-E tidak menunggu lama untuk terus mengorak langkah dalam mengejar cita-cita.
Pernah menghasilkan single Aku Tak Kisah dan Kita Cuma Kawan, Chubb-E, 20, atau nama sebenarnya Muhammad Sharul Ashlyn AG Ashrul Affandy kini muncul dengan single solo ketiga berjudul Padan Muka.
Lagu bergenre urban Hip Hop yang juga hasil ciptaan sepenuhnya itu dilancarkan secara rasmi pada 15 Mei lalu dan diterbitkan di bawah syarikat rakaman FutureMusic Entertainment.
Menurut Chubb-E, lagu itu dihasilkan sejak Ogos tahun lalu dan lirik adalah mengenai kisah sebenar dirinya dalam mencapai impian sebagai pemuzik dan anak seni.
"Mengikut perancangan asal, lagu ini dicipta untuk saya berkolaborasi dengan penyanyi wanita asal luar negara.
"Masa jumpa dia, saya memang nak bekerjasama dengannya. Jadi, saya cuba cipta satu lagu yang sesuai dengan kami. Sebab itu ambil masa lama sebab nak cari nota lagu yang sesuai.
“Namun, lama kelamaan artis itu menghilang. Dalam masa sama, dia ada masalah tersendiri.
"Syarikat rakaman pula mendesak untuk saya keluarkan juga lagu ini dengan artis lain. Tapi, bagi saya lagu ini tak sesuai dengan penyanyi lain.
"Apabila fikir semula mungkin bukan rezeki saya untuk ‘feat’ dengan sesiapa. Jadi, saya keluarkan saja lagu ini secara solo.
“Lagu ini adalah kisah benar mengenai diri saya yang pernah dipandang rendah, diejek dan orang tak percaya boleh pergi jauh.
"Malah, kawan sekolah juga tak terlalu percaya dengan impian saya. Mereka pandang rendah dengan cita-cita saya. Sebab mereka berasakan terlalu pandai dan saya pula lemah dalam akademik.
"Tapi apabila sudah berjaya dan capai sasaran, tiba-tiba ramai datang termasuk yang pernah ejek dan pandang rendah.
"Dalam masa sama, orang boleh menjadikan lagu ini sebagai inspirasi dan kaitkan dalam diri masing-masing jika melalui perkara sama,” katanya.
Berkongsi mengenai lagu itu, Chubb-E yang juga bekas juara program Ceria Megastar 2018 mengakui masih mengekalkan genre muzik sama yang disifatkan sebagai ‘forte’ dan identity dirinya.
“Dari dulu saya bermula dengan genre ini yang mana ia juga ‘forte’ saya. Macam mana sekali pun bunyi saya gunakan, ‘mood’ lagu saya bawa tetap ada bunyi Hip Hop. Tak boleh lari.
“Kalau buat pop balada sekali pun, tetap akan ada sentuhan bunyi Hip Hop. Ini adalah identiti saya sebab nak dikenali sebagai artis Hip Hop yang versatil. Ada juga saya buat lagu pop untuk artis lain, tapi bunyi Hip Hop tetap ada. Jadi saya akan kekalkan muzik ini,” katanya.
Bercerita mengenai kerjaya seninya, Chubb-E yang turut terbabit dalam program Dansa Sing bersama Youngsters Crew dalam perancangan untuk menghasilkan ‘mix tape’ atau album EP yang memuatkan lagu Hip Hop rap sepenuhnya.
“Perancangan akan datang, saya nak mencipta dan menerbitkan lebih banyak lagi lagu untuk artis lain. Bagi saya, perancangan untuk berkolaborasi dengan artis lain saya rasa belum masanya. Saya nak kena cukupkan lima single solo dulu.
“Saya juga merancang nak keluarkan ‘mix tape’ atau EP yang mengandungi keseluruhan lagu rap untuk peminat saya dengar. Genre lain, saya nak cuba pelbagai lagi, tapi masih ada sentuhan bunyi Hip Hop. Saya merancang nak cipta lagu yang lain daripada lain untuk pendatang baru seperti saya. Macam sekarang ramai komposer Hip Hop terkenal.
“Cuma, saya harap dengan kehadiran saya ini orang boleh bezakan kami. Saya punya bunyi lain, mereka pun lain,” katanya.
Video muzik lirik lagu Padan Muka boleh ditonton di saluran YouTube FutureMusic Entertainment.
Video muzik lirik yang dimuat naik sejak 15 Mei lalu itu sudah mencecah tontonan lebih 31,000.
Must-Watch Video