Penyanyi baru, Aisha Retno tampil dengan single pertamanya yang berjudul Mengikat Jiwa.

Single ini telah dicipta oleh Aldi Nada Permana dan telah dirakam di Indonesia. Sebelum ini Aldi telah banyak menulis lagu untuk penyanyi popular seperti Afgan, Jaz Hayat, Andmesh dan ramai lagi.

Jika diamati, melodi lagu ini mengingatkan pendengar kepada lagu-lagu balada dari Korea Selatan. Susunan muziknya yang ringkas dan hanya diiringi petikan piano menjadi melodi utama bergabung sempurna dengan vokalnya. Meskipun durasi lagu cuma 3.34 minit, Aisha berjaya melontarkan emosinya dengan cemerlang.

Selain itu, keistimewaan single ini juga terletak pada liriknya, jika diamati, bait-bait lirik Mengikat Jiwa ini kedengaran seperti sebuah puisi yang diterjemahkan dalam bentuk nyanyian ditambah pula dengan vokal unik yang dimiliki Aisha, pasti menarik perhatian pendengar.

Kini bernaung di bawah label Sony Music Malaysia, Aisha berazam menjadikan muzik sebagai medium untuknya menyebarkan aura positif selain menghidupkan harapan buat setiap individu.

Single Mengikat Jiwa ini boleh dimuat turun di iTunes dan stream menerusi portal muzik terpilih seperti Apple Music, Spotify, Deezer, JOOX Music dan KKBox.