HIBURAN
Kes Zara Qairina: Laungan 'Allahuakbar', Penduduk Dakwa Hidu Bau Harum
Takbir 'Allahuakbar' berulang kali dilaung penduduk kampung ketika mengiringi trak polis yang membawa jenazah Zara Qairina Mahathir, 13, yang digali semula di tanah perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, pada malam Sabtu.
Penduduk kampung dan sekitar berada di pekarangan tanah perkuburan seawal jam 2 petang selepas mendapat tahu mengenai proses menggali kubur Zara Qairina dilakukan.
Seorang penduduk dari Kampung Maligan yang turut hadir ke pekarangan tanah perkuburan, Jeffry Fauzi Rahman, 53, mendakwa, terhidu bau harum sebelum proses penggalian kubur dimulakan.
"Sebelum proses menggali dimulakan, ada bacaan doa diadakan.
"Saya juga ada terhidu bau wangian harum seperti bunga lalu tadi," katanya seperti di lapor Sinar Harian.
Jeffry Fauzi berkata, kehadirannya itu adalah sebagai tanda solidariti dan mengharapkan keadilan terhadap kematian Zara Qairina.
"Saya memang mengikuti perkembangan kes ini sejak dari awal dan memandangkan saya sudah berada di pekan hari ini, saya turun ke tanah perkuburan serta melihat sendiri proses ini.
"Walaupun dari jauh, tetapi kami tetap mahu menyaksikan sendiri proses itu berlangsung dan kami berharap proses bedah siasat itu telus," katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati ada segelintir penduduk kampung yang hadir merupakan kenalan Noraidah Lamat, 45, iaitu ibu Zara Qairina.
Sebelum itu, proses menggali kubur Zara Qairina, 13, telah selesai pada jam 7.15 malam Sabtu.
Jenazah Zara Qairina dibawa keluar dari kawasan tanah perkuburan menggunakan trak polis dan seterusnya dibawa ke Hospita Queen Elizabeth I (HQEI).
Proses penggalian kubur tersebut mengambil masa hampir dua jam iaitu dipercayai bermula sekitar jam 5.30 petang.
Selain itu, proses tersebut dilaksanakan oleh Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan turut disaksikan oleh beberapa pihak lain termasuk pasukan peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, 45, iaitu ibu kepada Zara Qairina.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video