Ketika berpeluang bertemu dengan penyanyi bersuara lantang, Aina Abdul baru-baru ini, nampak sedikit perubahan yang ketara pada penampilannya - saiz badan Aina kelihatan sedikit susut berbanding sebelum ini.

Ditanya adakah dia mengamalkan sebarang diet atau rutin senaman untuk tampil lebih kurus, penyanyi lagu Sumpah itu berkata, dia kini kerap mengunjungi di gimnasium setelah mengamalkan rutin sihat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mei lalu.

“Alhamdulillah, saya sudah hilang 7 kilogram. Sejak menjalani gaya hidup sihat, saya lebih gembira menjalani rutin harian.

“Bangun pukul 7 pagi, saya akan workout. Dulu ketika PKP, saya workout secara virtual. Tetapi selepas dibenarkan untuk keluar, saya aktif di gimnasium. Boleh dikatakan saya ke gimnasium empat kali seminggu,” katanya kepada Gempak.

Sungguhpun begitu, Aina menjelaskan yang dia kurus kerana ingin lebih selesa ketika menyanyi di atas pentas. Ujar Aina, keputusannya untuk turun berat badan tidak ada kena mengena dengan kritikan netizen.

“Bukan, saya kurus untuk diri sendiri, untuk saya rasa selesa. Kalau ada pun kritikan netizen yang bersifat negatif, mungkin mereka berada dalam senarai paling akhir untuk saya hiraukan.

“Namun, walaupun mulut mereka laser, tetapi saya ingin berterima kasih kepada mereka kerana mengeluarkan sifat-sifat yang lebih baik daripada diri saya.

“Mereka kutuk saya dan saya baca apa yang mereka tulis. Justeru, saya buat apa yang mereka rasa mustahil untuk saya lakukan. Saya tidak akan beri mereka menang,” jawab Aina jujur.

Dalam perkembangan lain, Aina bakal menerbitkan sebuah lagu baharu tidak lama lagi. Menariknya, lagu tersebut bakal dirakamkan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!