Atlet wushu Tan Cheong Min membuat kejutan apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Jagoan Nadi Arena 2019, sekali gus menewaskan nama-nama besar dunia sukan negara.

Cheong Min mengalahkan atlet lain termasuk Azizulhasni Awang, Farah Ann, Mohd Haiqal Hanafi, S Kisona dan S Suresh.

Tidak cukup dengan itu, Cheong Min juga mencipta sejarah tersendiri apaba menjadi atlit wushu pertama negara dinobatkan anugerah berkenaan.

Cheong Min mengumpul 29 peratus undian keseluruhan fasa kedua iaitu membabitkan senarai enam atlit finalis.

Kejayaan atlet berusia 22 tahun ini dipacu kemampuannya raih pingat emas acara nandao pada Kejohanan Wushu Dunia di Shanghai, China, Oktober tahun lalu.

Malah, dia turut raih perak dalam nanquan dan dual event.

“Kejayaan ini bukti atlit wushu mampu berada setaraf dengan jaguh utama negara. Malah, ia membakar
semangat saya untuk menghadapi jadual padat sepanjang 2020.

“Saya akan berusaha untuk raih lebih banyak kejohanan tahun ini walaupun wushu tidak
dipertandingkan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya ketika ditemui Gempak di Studio Astro Arena, hari ini.

Untuk makluman, kempen AJNA 2019 telah pun bermula sejak 21 Januari lalu membabitkan dua fasa.

Fasa pertama membabitkan undian peminat di laman sosial Astro Arena untuk memilih lima atlit terbaik.

Namun apa yang menariknya ketika peringkat ini, Cheong Min tiada dalam senarai.

Panel khas AJNA 2019 kemudian membuat kejutan dengan memberi imuniti kepadanya, sekali gus menjadikan jumlah final merangkumi enam atlit terbaik.

Fasa kedua kemudian membabitkan undian persatuan sukan kebangsaan (40%), panel khas (30%) dan peminat di laman sosial Astro Arena (30%).

Secara keseluruhan, AJNA 2019 mencatat rekod baru dengan 72,860 undian di semua platform mengatasi jumlah tahun lalu iaitu lebih 45,000 undian.