Pengarah dan pelakon, Sabri Yunus kini sibuk mengarah drama bersiri terbaru berjudul Tanya Sama Pokok.

Menurut Sabri yang turut membintangi drama bersiri itu, Tanya Sama Pokok mengisahkan tentang perkara yang berlaku dalam masyarakat zaman kini, khususnya mengenai politik.

"Tanya sama pokok mengisahkan tentang apa yang berlaku dalam masyarakat kita pada masa kini, khususnya politik di Malaysia.

"Sewaktu menerima tawaran untuk mengarah dan berlakon dalam drama bersiri ini, saya sangat gembira, kerana saya suka menyampaikan mesej kepada masyarakat secara santai.

"Dan yang paling penting, mesej yang disampaikan dalam Tanya Sama Pokok ini tidak memilih mana-mana pihak, saya secara peribadi pun tidak pernah memilih untuk memihak kepada mana-mana," katanya kepada Gempak.

Sabri berkata demikian ketika ditemui di lokasi penggambaran Tanya Sama Pokok bertempat di Sungai Besar, Kuala Selangor semalam.

Dalam pada itu, Sabri juga menegaskan bahawa mesej dan dialog dalam drama bersiri ini tidak dituju secara langsung kepada individu atau pihak tertentu.

"Mengenai penerimaan penonton pula, saya percaya, kerajaan sekarang juga bersikap terbuka, malah, teguran yang disampaikan dalam drama ini juga tidak dituju secara langsung.

"Pada masa yang sama, saya tidak mengatakan peranan drama ini sangat besar, cuma saya harap mesej yang disampaikan secara santai dan jenaka ini dapat difahami oleh penonton.

"Saya tak menuntut penonton untuk ketawa terbahak-bahak, saya hanya mahu mereka senyum dan berfikir," katanya lagi.

Selain Sabri sendiri, Tanya Sama Pokok turut membariskan pelakon terkenal lain seperti Datuk Fizz Fairuz, Mona Allen, Sara Ali, Angeline Tan dan ramai lagi.

Ia akan menemui anda bermula 21 September 2020, setiap Isnin, jam 9.00 malam di Astro Warna (saluran 127) dan Warna HD (saluran 107).

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!