Laman Utama
"Tapi, Apabila Difikirkan Balik Memang Banyak Hikmah Bila Anak Ikuti Kelas Online Ni" - Nora Ariffin Kongsi Pengalaman
Biarpun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini bermula kembali, namun pendidikan para pelajar tetap diteruskan secara atas talian agar tiada yang ketinggalan.
Ada pihak yang tidak bersetuju kerana terpaksa membayar yuran yang penuh sedangkan anak-anak hanya perlu belajar dari rumah. Ada yang berasakan sukar kerana mungkin tidak mempunyai kemudahan seperti komputer peribadi, tablet PC, telefon pintar, mahupun kemudahan Wifi.
Namun ada juga ibu bapa yang memandangnya dengan satu hikmah seperti penyanyi Nora Ariffin yang turut berkongsi pengalamannya mempunyai anak yang belajar secara atas talian di Instagram miliknya.
"Saja terfikir. Just wanna share. Mula-mula memang agak susah untuk parents yang kurang savy macam saya nak handle anak-anak belajar online especially yang masih sekolah rendah (PDP). Pening kepala jugak lah.
"Thanks to Mr Shake Faizal for helping me. Recomand me untuk beli tab ysng murah untuk memudahkan anak-anak belajar, fokus pada class & buat homework as well tanpa kacau phone or laptop mak. Baru order from shopee belum sampai," tulis Nora.
Tambah Nora, tentulah menyusahkan ibu sepertinya kalau terpaksa bergilir menggunakan komputer riba atau telefon miliknya kerana dia juga bekerja dari rumah.
"Tapi, apabila difikiran balik, memang banyak hikmah WFH (bekerja dari rumah) & online class ni. Kalau sebelum ni, kita hanya hantar & ambik anak-anak kita ke sekolah je. Kita tak boleh monitor sepenuhnya. Kita tak dibenarkan berada di kawasan sekolah waktu belajar.
Tapi sekarang, sangat best. Pengalaman pertama, sambil-sambil monitor anak-anak belajar, saya pun secara tak langsung boleh dengar juga, perhatikan apa yang diajar oleh cikgu sekarang, siapa guru yang mengajar, serta macam mana anak kita respon ketika belajar," tulis Nora lagi.
Tambah Nora lagi, tidak boleh disamakan zaman ketika ibu bapa belajar dahulu kerana masa dan keadaan sudah berubah, dan menganggap pengalaman tersebut sangat menarik untuk dirinya.
Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin menjadi ibu tunggal apabila suami kesayangannya yang juga merupakan seorang komposer terkenal, Allahyarham Johan Nawawi meninggal dunia pada tahun 2017. Pasangan tersebut dikurniakan dengan empat orang cahaya mata.
Lebih menyedihkan lagi, anak keduanya Muhammad Syakir Alif meninggal dunia pada usia 20 tahun pada akhir tahun 2019.