Juara Dansa dan Sing, Sophia Liana mendedahkan dia gemar menghabiskan masa di studio rakaman dan sibuk dengan kerjaya belakang tabir dalam dunia muzik.

Tidak menceburi bidang lakonan seperti dua rakan DeFam yang lain iaitu Azira Shafinaz dan Cik Manggis, Sophia selesa menumpukan sepenuh fokus terhadap bidang muzik.

"Tawaran untuk berlakon itu ada tetapi keinginan saya lebih terarah kepada bidang muzik. Sudah menjadi minat saya untuk menempatkan nama dalam industri nyanyian.

"Sejak menjejakkan kaki dalam dunia hiburan, saya menanam impian untuk menjadi penyanyi rap serta komposer yang berjaya dan saya sedang berusaha ke arah itu," kata Sophia.

Terus menumpukan perhatian dalam bidang muzik, Sophia juga bakal melancarkan single untuk projek solonya.

"Saya mahu kekal fokus untuk mencapai apa yang saya inginkan dan saya banyak menghabiskan masa di studio. Saya akui banyak belajar dan saya tak mahu berputus asa.

"Bermula tahun lalu, saya sudah mula hasilkan lagu sendiri dan Insya-Allah, saya bakal tampil dengan projek solo dalam masa terdekat," katanya lagi.

Sebelum ini, Sophia dan Budak Ngam telah dinobatkan sebagai juara pentas akhir Dansa Dan Sing menewaskan lima peserta lain.