Kaedah tayammum, renjisan atau melalukan air ke atas jenazah atau cebisan mayat, merupakan antara cara yang boleh digunakan bagi pengurusan jenazah Islam yang tidak sempurna.

Mufti Sabah Datuk Bungsu@Aziz Jaafar berkata sekiranya hanya terdapat cebisan mayat, maka ia wajib dikumpulkan sebelum dimandikan dengan cara menyiram atau melalukan air ke atas jenazah, sebelum dikafan, disembahyangkan dan dikebumi.

"Sekiranya memandikan dengan air, sembur atau renjis boleh menyebabkan cebisan mayat makin rosak.

“Maka pada ketika itu boleh tayammumkan sahaja cebisan tersebut, bergantung kepada nasihat doktor atau pegawai perubatan mengenai keadaan mayat tersebut," katanya seperti yang dilapor Bernama.

Sementara itu Bungsu juga berkata, walaupun Islam menuntut untuk jenazah diuruskan segera, namun dalam keadaan luar biasa atau darurat, maka terdapat kelonggaran yang membolehkan perkara tersebut ditangguh.

"Misalnya secara lazim jenazah wajib disegerakan, namun dalam keadaan seperti memerlukan pengesahan DNA dan bedah siasat yang mengambil masa lama dan menyebabkan pengurusan jenazah tertangguh, maka ia dibolehkan oleh syarak," jelasnya.

BACA: Tragedi Elmina: 10 Maut, Hanya Mayat Penunggang Motosikal Ditemui Sempurna

BACA: "Abang Kata Mahu Pulang 20 Ogos Ini ..." - Adik Penunggang Motosikal Nahas Pesawat Elmina

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada Jumaat memaklumkan hanya satu daripada 10 mayat mangsa nahas pesawat jenis BeeChcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Bandar Elmina, Sungai Buloh itu ditemukan dalam keadaan sempurna.

Mayat sempurna yang ditemukan merupakan penunggang motosikal.

BERNAMA