Biarpun kurang sempurna, jenazah pekerja p-hailing yang maut susulan nahas jet persendirian terhempas di Shah Alam, Selangor semalam, dikatakan ditemui dalam keadaan lengkap.

Perkembangan itu dimaklumkan Norhikmah Muhammad Salleh, 26, adik kepada penunggang motosikal p-hailing yang dilaporkan maut dalam kejadian terbabit.

Norhikmah berkata, dia sekeluarga ketika ini masih menunggu prosedur bedah siasat hospital.

"Kami sekeluarga dimaklumkan pengecaman jenazah abang, Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, sukar dilakukan kerana wajahnya kurang sempurna, tetapi dikatakan anggota badan masih lengkap.

"Setakat ini, ibu, abah dan abang saya lagi seorang sudah memberikan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada jam 3.45 pagi tadi. Ia bagi membolehkan proses bedah siasat dimulakan.

"Mereka ketika ini, berada di auditorium hospital (Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor) bersama waris mangsa yang lain untuk mendengar taklimat daripada pihak berkaitan," katanya memetik laporan Berita Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, Norhikmah berkata, Muhamad Hafiz yang juga anak sulung daripada lima beradik itu ada menyatakan hasrat pulang ke kampung bagi membuat persiapan kenduri ketika menghubungi bapanya, minggu lalu.

"Abang ada kata mahu pulang 20 Ogos ini, kami sekeluarga mahu buat persiapan sempena perkahwinan kakak yang dijadual berlangsung 26 Ogos.

"Namun, Allah lebih menyayangi abang. Walaupun seorang yang pendiam dan tegas, tetapi dia sangat penyayang," katanya.

Norhikmah dan keluarga tiba dari Taman Sidam Kiri, Sungai Petani, Kedah pada pagi Jumaat.

Memetik laporan mStar, sepupu kepada Allahyarham Muhamad Hafiz, Nurul Nazihah memberitahu arwah merupakan lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhijrah ke ibu kota dan kini bekerja sebagai rider penghantar makanan.

Menurut Nazihah, mangsa yang berusia 30-an merupakan anak sulung daripada lima beradik dan sepatutnya pulang ke kampung halaman bagi menghadiri kenduri keluarganya minggu depan.

"Dia dah lama kerja di Kuala Lumpur. Dia kerja rider. Dah habis belajar dalam tahun 2017. Memang rapat, baru saja jumpa di kampung masa raya Qurban. Saya duduk Kulim, ibu arwah di Sidam. Kampung kami pula di Baling.

"Minggu depan kenduri kahwin adik dia. Sepatutnya dia balik minggu depan. Memang sedihlah. Masa raya tu kali terakhir jumpa. Dia jenis soft spoken, sembang tak merapu.

"Minta tolong semua doakan yang baik-baik, diampunkan dosanya, dan dikurniakan syurga buatnya," ujar Nazihah lagi.

Sumber: Berita Harian, mStar