Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Teacher’s Pet Tak Pernah Berpecah, Bergaduh” - Maman

Izwan Isa
25/06/2023 02:50 MYT
Sudah lama rasanya tidak mendengar berita tentang kumpulan yang popular pada era 90-an, Teacher’s Pet.

Mungkin ada dalam kalangan peminat merasakan bahawa kumpulan tersebut barangkali sudah tidak aktif atau telah berpecah.

Namun, vokalisnya, Maman memberitahu, kumpulan yang popular dengan Warisan Wanita Terakhir masih lagi utuh sehingga ke hari ini.

BACA: "Kami Tak Berpecah, Munif Tiada Sebab..." - Lama Tak Nampak, Jangan Salah Faham, Hijjaz Masih Ada

Ujarnya, sungguhpun sudah agak lama tidak bergerak sebagai sebuah kumpulan, namun kesemua anggota masih lagi aktif dalam bidang masing-masing.

“Alhamdulillah, sehingga sekarang Teacher’s Pet tak pernah berpecah atau bergaduh. Kami semua masih lagi terbabit dengan dunia muzik.

“Misalnya, Addy (gitaris) masih lagi main untuk Ramli Sarip, Jaybon (basis) pula banyak bertindak sebagai penerbit lagu dan Salleh (dram) pula aktif di Singapura,” jelasnya.

Maman berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran album terbaharu Maman yang berlangsung di sebuah hotel baru-baru ini.

Sekitar tahun 90-an, Maman yang juga selaku vokalis kumpulan Teacher’s Pet popular dengan lagu-lagu seperti Warisan Wanita Terakhir dan Seringkali.

Menurut penyanyi kelahiran Singapura itu lagi, dia juga merancang untuk mengadakan sebuah showcase istimewa pada tahun ini.

“Saya rancang untuk adakan showcase sahaja terlebih dahulu kerana konsert agak berat, mungkin akan berlangsung pada bulan Ogos ini.

“Buat masa ini kami perlu cari lokasi yang bersesuaian untuk showcase ini. Lagipun pemilihan tempat amat penting dan paling utama ia sebagai hiburan istimewa untuk peminat,” ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita lebih lanjut tentang album Aku, Maman menjelaskan ia adalah buah tangan terbaharunya selepas menyepi daripada dunia nyanyian selama 20 tahun.

BACA: Fourtwnty Kenang Hampir Berpecah, Lagu Terkenal Tapi Tak Pernah Buat Persembahan

“Tentu ramai yang tanya kenapa saya menyepikan diri dalam tempoh lama, apapun salah satu jawapannya ada dalam lagu-lagu yang terkandung di dalam album Aku.

Album Aku memuatkan tujuh lagu antaranya Lafazkan, Rahsia, Kejauhan, Warisan Wanita Terakhir, Ibu, Anak dan Belaian Rindu.

#Maman Teacher's Pet
;