Konsert Kenangan Kelly bakal diadakan untuk menghargai jasa dan sumbangan pemain gitar bass, Allahyarham Kelly Abdul Rahman atau Kelly dalam industri muzik tempatan.

Konsert itu akan diadakan pada 28 September 2019, jam 8 malam bertempat di The Gasket Alley, Petaling Jaya, Selangor.



Gempak telah menghubungi Datuk Hashridz Murshim atau mesra disapa Acis yang merupakan salah seorang dari pengarah muzik konsert itu untuk mendapatkan sedikit kenyataan.

Menurut Acis, dia berasa sangat terharu kerana ramai artis ternama dalam industri sudi menyertai konsert tersebut dengan membuat persembahan secara percuma.

"Konsert ini diadakan untuk mengenang sumbangan dan jasa Kelly terhadap industri muzik tempatan, kebanyakan lagu yang kita dengar di radio mesti ada sentuhannya.

"Saya sangat terharu kerana ramai artis popular dan nama-nama besar sudi untuk membuat persembahan secara percuma dalam konsert ini.

"Sebagai penggiat seni, kami benar-benar ingin menjayakan konsert ini dengan ikhlas," ujarnya.

Tambah Acis, sebahagian besar dari penjualan tiket konsert ini akan didermakan kepada keluarga pemain gitar tersebut.

"Sebahagian besar dari penjualan tiket konsert ini akan didermakan kepada keluarga Allahyarham.

"Walaupun semua artis akan membuat persembahan secara percuma, namun pihak pengurusan masih harus membayar beberapa tenaga kerja yang terlibat tetapi itu tidaklah menelan belanja besar," tambahnya.

Selain Acis, dua lagi pengarah muzik yang akan berkhidmat untuk konsert terbabit adalah Lok Yu dan Genervie.

Seramai 20 orang artis akan membuat persembahan malam itu, antaranya Datuk Sheila Majid, Datuk M Nasir, Ruffedge, Misha Omar, Jaclyn Victor dan ramai lagi.

Sumbangan minimum adalah sebanyak RM150, untuk maklumat lanjut, sila hubungi 019-6665226 dan 012-6786001.