Terkini
"Tengah-Tengah Buat, Terbeliak Tinggal Mata Putih" - Kisah Pemilik Spa Bekam Yang Takut Darah, Cerita Cemas Rawat Pelanggan Yang ...
Takut darah tapi nak berbekam, itu perkara biasa tapi lain pula yang kisah Pengasas dan Pengarah Urusan Spa Bekam Ar Rayyan, Mohmmad Fathullah, yang akui dirinya sendiri 'takut darah'.
Mula berjinak-jinak dengan bisnes berbekam darah sekitar 2015, Mohmmad Fathullah, 39, akui berdepan pelbagai pengalaman cemas melibatkan dirinya sendiri dan pelanggan yang dirawatnya.
Dedah Mohmmad Fathullah, dia pernah hampir pengsan ketika merawat pelanggan di spa bekam miliknya dipercayai akibat bau darah itu sendiri.
"Kisah itu terjadi ketika saya dah membuka kedai, ketika sedang merawat pelangga, tiba-tiba saya rasa macam nak pengsan. Memang asalnya saya ni takut darah, tapi sepanjang tempoh belajar berbekam, ia lenyap dengan sendirinya disebabkan semangat ingin mencuba sesuatu baharu.
"Mungkinlah ketika itu penyakit takut darah tu datang balik. Selepas sesi tersebut badan saya lemah, seminggu tak boleh bangun.
"Tapi menurut guru saya, mungkin sebab bau darah, atau mungkin juga ada 'benda-benda' dan gangguan makhluk lain lain. Amalan saya, cuma baca ayat Kursi," ceritanya kepada Gempak.
Mohmmad Fathullah mula optimis untuk membangunkan bisnes spa bekam selepas melihat kegigihan kakak iparnya dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur semata-mata memenuhi permintaan berbekam setiap hujung minggu.
Komited dan terus belajar, Mohmmad Fathullah akhirnya berjaya membuka bisnes Spa Bekam Ar Rayyan yang kini sudah punyai 30 cawangan seluruh Malaysia dan memasuki operasi tahun kelapan tahun ini.
Melanjutkan bicara, Mohmmad Fathullah mendedahkan dia sendiri pernah berdepan detik cemas merawat pelanggan yang tiba-tiba hampir pitam ketika sedang berbekam.
"Silap saya tak tanya dari mana, tiba-tiba dia kata dia pening kepala nak berbekam. Tengah-tengah buat tinggal mata putih, saya takutlah kenapa.
"Jadi, saya cabut semua, tenangkan dia dan bagi minum air. Apabila ok sikit saya tanya, dia kata dia tak tidur malam sebelum berbekam. Sebenarnya, nak berbekam ni kena cukup tidur, kalau tak membahayakan!" nasihatnya.
Sementara itu, Mohmmad Fathullah terus optimis untuk membangunkan jenama spa bekam Ar Rayyan miliknya biarpun pernah berdepan cabaran besar ketika pandemik COVID-19 selama dua tahun.
"Memang tak mudah bagi kami untuk maintain lagi-lagi ketika dua tahun diancam pandemik Covid-19. Ketika itu kami tutup operasi secara total namun bersyukur kerana adanya ketua-ketua cawangan yang sentiasa positif dan terus menyokong untuk terus bertahan. Kita teruskan juga bisnes dan akhirnya masuk tahun kelapan tahun ini.
"Kalau disebut soal persaingan pula, memang nak ikutkan mana-mana bisnes akan ada banyak (persaingan) tapi untuk maintain, saya percaya pada pasukan kami hingga mampu menerajui perniagaan spa bekam di Malaysia," katanya kepada Gempak.
Mohmmad Fathullah ditemui pada majlis Feel Eightcitement Night sempena sambutan ulangtahun kelapan Spa Bekam Ar Rayyan di Nilai, Negeri Sembila baru-baru ini.
Dalam acara bertemakan batik songket glam itu, Mohmmad Fathullah bersama-sama lebih 200 kaki tangan daripada 30 cawangan Spa Bekam Ar Rayyan dari seluruh Malaysia diraikan penuh gilang-gemilang.
Tidak bergantung pada duta selebriti untuk melonjakkan prestasi bisnesnya, Mohmmad Fathullah yakin dengan konsep berbeza yang diketengahkan di setiap cawangannya untuk memberikan keselesaan dan jaminan keselamatan serta kepuasan pelanggan yang berkunjung.
"Kalau orang dengar bekam ramai akan berfikir cara tradisional, tapi kami membawakan konsep spa yang mana-mana golongan umur boleh masuk.
"Orang suka pergi spa, bila letak nama spa bekam, mindset berbeza berlainan dengan pusat bekam. Itu yang membawa pelanggan datang berulang-kali," tambahnya.
Spa Bekam Ar Rayyan telah mula beroperasi pada tahun 2015 sebagai pusat rawatan bekam berkonsepkan Moden Klinikal Spa yang memberi jaminan keselesaan dan mengutamakan kebersihan dalam perawatan serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Menawarkan perkhidmatan seperti Bekam Angin, Bekam Basah, Bekam Inframerah, Bekam Seri Wajah, Bekam Migrain, Urutan Tradisional dan terbaharu Body Alignment.
Banyak manfaat dan kelebihan yang boleh dilihat dalam terapi ini seperti membantu aliran darah, mengurangkan kelesuan badan, melegakan sakit kepala, membantu mengurangkan penyakit yang berpunca dari alahan, membantu dalam masalah kesuburan serta banyak lagi.
Spa Bekam Ar Rayyan telah melatih seramai 1,500 orang dan telah melahirkan lebih 150 pakar terapis dalam bidang bekam dan urutan. Sebahagiannya telah menjadi sumber kepakaran di Spa Bekam Ar Rayyan bagi memberi khidmat terapi kepada lebih 300,000 pelanggan.
Kini, Jabatan Pembangunan dan Kemahiran Malaysia telah mentauliahkan Spa Bekam Ar Rayyan sebagai Pusat Penilaian Amali untuk diberikan latihan kepada para individu yang berminat untuk mendapat pentauliahan Sijil Kemahiran Malaysia 3 dalam bidang bekam dan urutan.
Dalam merialisasikan kejayaan yang berterusan, Spa Bekam Ar Rayyan telah membuka peluang kepada yang ingin memulakan bisnes bekam dengan menawarkan Program Perlesenan.
Program ini telah dibuka kepada individu, syarikat, persatuan, koperasi, Non-Governmental Organization (NGO) dan lain-lain untuk menjalankan perniagaan yang lebih berstruktur dengan bantuan dan sokongan berterusan dari pihak syarikat induk yang mana telah terbukti kejayaannya.
INDIVIDU TIDAK BOLEH BEKAM?
» Wanita mengandung
» Orang tua yang uzur
» Pesakit kencing manis
» Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah
MASA TERBAIK
» Sebulan sekali atau tiga bulan sekali bergantung kepada gaya hidup.
» Setiap bulan Islam pada tarikh 17,19 dan 21 hijrah.
» Jika tiada penyakit, boleh lakukan dua atau tiga bulan sekali.
KESAN SAMPINGAN
» Rasa gatal yang normal pada kulit selepas berbekam. Bersihkan diri atau mandi seperti biasa menggunakan sabun.
PANTANG LARANG
» Tiada sebarang larangan ketika, sebelum atau selepas berbekam. Terpulang kepada individu untuk berpantang. Jika mempunyai masalah elergi, elak makanan yang menyebabkan kegatalan dalam tempoh dua hari sehingga luka kering.
PERLU PUASA ATAU TIDAK?
» Berpuasa tidak mengganggu aktiviti berbekam. Disarankan makan roti atau makanan ringan sekadar isi perut terutama individu yang mempunyai tekanan darah rendah. Elak makan nasi atau yang terlalu mengenyangkan.
ALTERNATIF JAGA KESIHATAN
» Boleh dijadikan rawatan healing untuk individu yang selalu stres
» Sesuai untuk mereka yang kerap migrain.
» Bagi penyakit tiga serangkai amalan bekam dapat mengekalkan bacaan gula dan lemak dalam darah tetapi perlu dilakukan secara konsisten.
» Stres belakang tengkuk berkurangan.
Must-Watch Video