Pelakon, Che Puan Juliana Evans menerima tawaran untuk membawakan watak Cikgu Syima dalam filem Cikgu vs Hantu adalah kerana sahabat baiknya, Liyana Jasmay.

Menurut Juliana, dia tidak mempunyai masalah untuk membawakan watak itu walaupun pertuturannya menggunakan bahasa baku.

“Sudah tentu sebab utama saya terima untuk berlakon filem ini adalah kerana Liyana Jasmay. Bukan semua, ada juga waktu-waktu yang saya tak dapat nak cakap ya sekiranya dia yang tawarkan berlakon sebagai contoh tahun lalu. Tetapi boleh dikatakan most of the time saya terima.

“Macam Cikgu vs Hantu ini, dia sudah cakap lama dengan saya. Liyana kata dia ada cipta satu karakter dan dia mahukan saya menjadi seorang cikgu yang cantik.

“Untuk filem ini saya rasa dia dah meletakkan di dalam kepala untuk saya bawakan watak cikgu Syima dan saya pun hanya ikutkan sahaja. Tidak ada masalah, tidak ada demand,” katanya ketika ditemui Gempak.

BACA: Cikgu Vs Hantu, Filem Komedi Seram Pertama Arahan Liyana Jasmay, Papar Misteri Kematian Di Sekolah

Mengulas mengenai watak Cikgu Syima, Juliana berkata dia menonton filem-filem lama sebagai rujukan dari segi pertuturan bahasa baku.

“Sebab Liyana dah beritahu awal-awal watak dalam filem ini seperti cerita-cerita Melayu zaman 80-an, jadi saya hanya tengok di YouTube. Saya melihat dari segi cara mereka berkata-kata dan juga lenggoknya.

“Jadi saya cuba belajar dan ambil inspirasi daripada filem-filem lama. Tapi disebabkan skrip tidak konsisten, sebagai contoh macam watak saya menggunakan bahasa baku.

“Jadi skrip saya itu, saya perlu menterjemahkannya kepada bahasa baku yang lebih proper. Nasib baik bahasa Melayu saya boleh tahan, jadi ia tidak menjadi masalah untuk saya,” katanya berseloroh.

Filem terbitan Mermaid Studio ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Afdlin Shauki, Khir Rahman, Che Puan Juliana Evans, Zahiril Adzim, Shuk Sahar, Fathil Dani, Mohd Fadhli Masoot, Muhammad Muntazar Ghani dan penampilan istimewa, Syafiq Kyle.

Jadi jangan lupa untuk menyaksikan Cikgu vs Hantu di pawagam rumah anda, Astro First.

Untuk melanggan, sila ke saluran 480 dan boleh juga di strim di Astro Go atau On Demand.

Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.


Sinopsis:

Cikgu vs Hantu mengisahkan tentang permusuhan antara cikgu Daud (Afdlin Shauki) dan cikgu Samad (Khir Rahman) untuk merebut tittle menjadi cikgu terbaik.

Bagaimanapun persaingan itu secara tidak langsung telah merapatkan hubungan mereka tanpa sedar selepas kemunculan cikgu Syima (Che Puan Juliana Evans) dan Ismail (Shuk Sahar).

Kematian cikgu Syima dan Ismail di sekolah menjadi tanda tanya siapakah dalang yang membunuh mereka.