Kumpulan Heart diumumkan sebagai juara program Muzikal Lawak Superstar 2 (MLS2) sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 berserta trofi.

Heart berjaya memberikan persembahan mantap pada pusingan pertama bertemakan negara-negara Asia dengan memperolehi 5 bintang daripada Nur Fazura.

Kumpulan Danial, Ezad Lazim dan Azmi Saat itu turut mendapat 5 bintang daripada Zul Ariffin di pusingan kedua yang bertemakan bebas.

Danial juga turut menerima gelaran Superstar musim ini.

Sementara itu tempat kedua menjadi milik kumpulan U.N.I yang membawa pulang wang tunai RM75,000.

Tempat ketiga menjadi milik kumpulan Viral yang memenangi hadiah wang tunai RM50,000

Satu lagi finalis, Janggo akur di tempat keempat dengan menerima wang tunai RM25,000.

Keempat finalis juga turut membawa pulang trofi.

Dalam pada itu, sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM10,000 didermakan kepada badan kebajikan yang dipilih iaitu Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al Fattah Semenyih.

Kesemua bintang diadili 50% daripada juri tetap, Datuk Awie, Zul Ariffin dan Nur Fazura manakala 50% lagi adalah undian.

Pentas akhir MLS2 juga turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan, Datuk M. Nasir, Akim & The Majistreet, Azlan The Typewriter dan Bunkface

MLS2 bersiaran setiap Jumaat, jam 9 malam secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)

Program yang dihoskan olah Nabil Ahmad dan Elly Mazlein ini juga disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.