Sebelum ini tindakan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menebang pokok durian Musang King yang sedang lebat berbuah, menjadi pertikaian netizen.

Mereka mendakwa, Operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub tidak melanggar perintah Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, selepas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi penjelasan mengenai sebab penebangan pokok di kawasan seluas 101 hektar dekat Hutan Simpan Batu Talam itu dilakukan ramai warganet menyokong tindakan tersebut.

Wan Rosdy berkata, kerja-kerja penguatkuasaan tersebut dilakukan di luar kawasan kebun yang dimiliki Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

"Operasi dan kawasan penguatkuasaan yang dilakukan ini telah mendapat pandangan perundangan daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang (LA) negeri yang sebelum itu telah merujuk kembali perkara terbabit ke Mahkamah Rayuan.

"Ini adalah operasi penguatkuasaan biasa tetapi mendapat tentangan serta provokasi dengan kata-kata kesat dikeluarkan ke arah pegawai-pegawai dan kakitangan penguat kuasa.

"Jadi, saya berharap ia tidak dijadikan isu perkauman kerana sebelum ini kerja-kerja penguatkuasaan turut dilakukan di Sungai Ichat (pekebun India) dan Lembah Bertam (pekebun Cina) di Cameron Highlands; serta di Kechau, Lipis (pelombong emas Melayu)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, tindakan bersepadu membabitkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Di ruangan komen, rata-rata warganet bersetuju dengan tindakan dikenakan terhadap pekebun durian yang dianggap sebagai penceroboh.

Warganet turut menuntut agar operasi turut dijalankan di tempat-tempat lain selain, Raub.

Antara komen warganet:

Adnan Seman
"MB Pahang ni mmg betul2 buat kerja.. teruskan usaha memajukan Pahang dan memelihara khazanah negeri dgn sebaiknya..."

WM Firdaus
"Terbaik penguatkuasa bertindak atas keluhuran undang-undang yang sebenar dan berpijak di bumi yang nyata... semua dilakukan mengikut sop yang tepat dan jitu, tiada perlanggaran mana2 undang2..
Yang menyondol undang2 tu tak lain tak bukan pekebun haram yang gondolkan hutan dan tanam durian..."

Mustafa Abd Karim
"Tahniah MB, tolong bagi semangat pada penguat kuasa yang bertugas dalam operasi ni, sebab tengok dorang macam down bila disergah dengan penyamun-penyamun dengan tingkah laku yang amat biadap terhadap. Dan kalau boleh operasi jangan terbatas di Raub sahaja, kerana pembalakan di Jerantut, Tasik Cini, perlombongan di Lipis Bukit Ibam dan lain-lain kawasan dalam Pahang sangat kritikal. Sekian luahan hati netizen yang cintakan alam semula jadi."

Sementarai tu Wan Rosdy berkata, tempoh kerja-kerja penguatkuasaan bermula pada Sabtu dan dijangka sehingga 2 Ogos depan membabitkan kebun-kebun haram termasuk durian musang king dalam Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang berkeluasan 101.17 hektar.

Tambah Wan Rosdy, tindakan akan diambil termasuk menahan mana-mana individu atau pekebun yang memasuki kawasan hutan simpan berkenaan tanpa kebenaran, malah apa juga barangan dan kenderaan akan disita.

"Semalam (Ahad), seramai 18 pekebun durian musang king telah ditahan di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Raub untuk tahanan reman. Mereka akan disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara.

"Sebelum itu, empat orang ditahan, menjadikan seramai 22 individu yang ditahan dalam tempoh dua hari operasi tersebut," ujar beliau.