Sambutan Hari Kebangsaan 2023 berlangsung dengan sangat meriah apabila seluruh rakyat Malaysia meraikannya dengan penuh semangat patriotisme.

Hal itu dapat dilihat sejak malam tadi apabila banyak video dan gambar dirakam lalu dikongsikan di platform media sosial termasuk Facebook yang menyaksikan orang ramai sudah membanjiri Dataran Putrajaya yang menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Selain sudah memenuhi kerusi orang awam untuk menyaksikan acara sambutan perarakan sejak pukul 1 pagi, ada yang langsung tidak berganjak dan sanggup berpayung malah mendirikan khemah saat hujan turun.

Malah sambutan acara pagi ini berlangsung dalam suasana penuh meriah dan memperlihatkan keharmonian rakyat Malaysia yang membanjiri Dataran Putrajaya demi memberi semangat kepada Hari Merdeka.

BERNAMA melaporkan acara sambutan melibatkan 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 kumpulan pancaragam, 534 aset darat dan aset udara serta 100 ekor haiwan dalam perkhidmatan.

Mendahului acara sambutan Hari Kebangsaan 2023 itu ialah nyanyian lagu Negaraku seiring dengan acara menaikkan Jalur Gemilang, serentak kedengaran 14 das tembakan kehormatan, simbolik kepada 14 negeri di Malaysia, dilaksanakan 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja diketuai Lt Kol Mohamad Asri Che Wil.



Tidak sempurna acara tanpa bacaan ikrar Rukun Negara, justeru ikon sukan Muhammad Haikal Roslan yang merupakan pemenang pingat emas bawah 25 tahun perseorangan Kejohanan Asian Bowls ke-12 2023 diberi mandat mengetuai 66 pembaca ikrar yang terdiri daripada pelbagai kaum serta menonjolkan elemen perpaduan.

Lebih istimewa, 36 daripada pembaca ikrar itu melafazkan ikrar berkenaan menggunakan bahasa isyarat, seterusnya diikuti dengan laungan Merdeka sebanyak tujuh kali.

Acara sambutan turut disiarkan dan diikuti jutaan rakyat Malaysia secara langsung melalui kaca televisyen dan laman media sosial.

Kredit foto; Scoop, Bernama