“Terbayang Saya Ambil Pisau Rodok Diri Sendiri” - Khai Bahar Pernah Diserang Anxiety
Asyikin Mayudin
08/11/2023 00:55 MYT
08/11/2023 00:55 MYT
Penyanyi Khai Bahar mendedahkan dia pernah berdepan masalah anxiety atau kebimbangan melampau sekitar awal tahun 2019.
Menurut Khai, ketika itu dia terpaksa mengajak abang dan kakak ipar untuk tinggal bersamanya memandangkan keadaan mentalnya agak tidak stabil.
“Saya pernah kena anxiety masa 2019, lepas pada kena tu, saya rasa sunyi dekat rumah, tak tahu nak buat apa. Saya ajak abang saya duduk sekali, dia baru ada anak seorang dan isteri tengah hamil anak kedua.
“Macam-macam benda saya fikir masa itu… saya kena sebelum PKP, awal 2019. Tak tahu kenapa tiba-tiba jadi murung dan overthinking. Nak tidur, dengar bisikan, terfikir juga ‘apa kena dengan aku ni?’,” kongsinya.
Khai berkongsi mengenai perkara itu ketika menjadi tetamu dalam program oneONone bersama hos Farhana Rahman yang disiarkan di Astro Ria pada Isnin.
Lebih setahun berdepan masalah itu, Khai turut mengakui dia pernah mendengar bisikan ‘jahat’ seperti memintanya untuk terjun balkoni dan menikam diri sendiri dengan pisau setiap kali hendak melelapkan mata.
“Setahun lebih saya struggle dengan anxiety… nak tidur tak boleh, rasa sesak nafas. Bila nak tidur, ada dengar macam orang bisik-bisik suruh terjun balkoni la.
“Saya sampai simpan pisau dalam almari, sebab kalau saya nampak pisau itu, saya terbayang saya ambil pisau rodok diri sendiri,” kata Khai Bahar lagi.