Kedengaran agak pelik tapi itulah yang berlaku terhadap Masjid At-Taufiqiah, Sekinchan apabila bekas tabung sumbangan orang ramai dipecahkan.

Bukan sekali, namun kejadian tersebut berlaku sebanyak tiga kali.

Malah, kejadian berkenaan kini viral di media sosial.

Menerusi laporan Harian Metro, kejadian pertama difahamkan berlaku pada 2 Disember lalu apabila pihak masjid menyedari cermin pintu gelongsor bahagian belakang masjid berkenaan pecah dan dua tabung iaitu tabung anak-anak yatim serta tabung masjid dikopak.

Menurut seorang ahli jawatan kuasa masjid, Arshad Ramli, dua tabung itu berjaya dikopak oleh individu tidak bertanggungjawab namun duit di dalamnya gagal diambil susulan tabung itu mempunyai dua mangga iaitu di bahagian luar dan dalam.

"Keesokan harinya (3 Disember), masjid ini sekali lagi dipecah masuk.

“Kali ini, individu itu berjaya mengopak tabung masjid dan melarikan wang berjumlah RM 150," katanya.

Tidak terhenti di situ, Arshad berkata, kejadian sama kembali berulang pada 7 Disember lalu apabila tabung utama masjid itu menjadi sasaran dan pemutar nombor rahsia dipecahkan.

"Kalau sebelum ini penjenayah masuk melalui pintu gelongsor di bahagian belakang masjid namun kali ia dia masuk melalui jeriji pintu masuk utama ruang solat," katanya.

Difahamkan, pihak masjid sudah membuat tiga laporan polis susulan kejadian itu dan pada masa sama memasang jeriji besi di kawasan berisiko.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

"Kita mengesyaki ia dilakukan penagih dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," katanya

Sumber : Harian Metro