HIBURAN
Terharu Dapat Sokongan Penonton Dari Indonesia, Alya Iman Sedia Kembangkan Karier - “Saya Sangat Bangga”
Pelakon, Alya Iman meluahkan rasa terharu apabila drama Pabila Dia Tersenyum mula mendapat perhatian di negara Indonesia.
Kongsi aktres itu, dia tidak menyangka karya lakonannya mampu menembusi pasaran luar serta berjaya menyentuh hati penonton di sana.
“Saya sangat-sangat terkejut bila ramai penonton dari Indonesia yang tonton dan tinggalkan komen. Tak sangka langsung sambutan mereka begitu baik,” katanya kepada Gempak.
Bagaimanapun, Alya juga menyatakan rasa syukur dan bangga terhadap usaha seluruh tenaga produksi yang berjaya menghasilkan drama tersebut hingga memberi impak ke luar negara.
“Saya sangat bangga dengan diri saya dan juga pihak produksi kerana kami berjaya menyentuh hati penonton luar.
“Ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi kami berjaya,” jelasnya.
Pada masa sama, anak kepada pelakon Allahyarham Azmil itu mengakui dia tidak menolak sekiranya diberikan peluang untuk melebarkan sayap lakonannya di Indonesia.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki untuk saya kembangkan karier di sana, kenapa tidak? Apa salahnya kita cuba,” kongsinya.
Selain Alya Iman yang memegang watak Elina dalam drama Pabila Dia Tersenyum, barisan pelakon yang lain seperti Amir Ahnaf, Adam Lee, Marissa Yasmin dan Iqram Dinzly juga membintang drama tersebut.
Drama ini sudah ditayangkan menerusi platform VIU bermula 24 April 2025.