HIBURAN

Terima Anugerah Bintang Usahawan Negara, Aaron Aziz Turut Aktif Kempen Anti-Buli Di Sekolah - "Semakin Menjadi-Jadi"

Amri Hassan 03/03/2025 | 05:57 MYT

Pelakon popular, Datuk Aaron Aziz menganggap Anugerah Bintang Usahawan Negara 2025 yang diterimanya baru-baru ini sebagai satu penghormatan besar dalam kariernya.

BERITA TRENDING: “Jaga Tepi Kain Sendiri Sudahlah” - Aaron Aziz Tak Setuju Ramai Buat Konten Cakap Fasal Orang

BERITA TRENDING: ​Aaron Aziz Terima Anugerah DPDDM

Aaron turut berkongsi rasa syukur kerana telah mengenali Datuk Nor Hasnal Hashmi sejak 14 tahun lalu, yang merupakan individu penting di sebalik Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia (DPDDM).

“Alhamdulillah, dah lama saya kenal Datuk Nor Hasnal Hashmi, sejak 14 tahun lalu. Anugerah ini adalah satu penghormatan besar dan saya sangat menghargainya. Saya berharap dapat memberi sumbangan kembali kepada masyarakat dan dalam masa yang sama menjaga nama baik Datuk-Datuk di Malaysia," ujarnya.
Selain Aaron, Presiden KRU Group, Datuk Norman Abdul Halim, antara penerima Anugerah Bintang Usahawan Negara 2025 yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia (DPDDM) baru-baru ini.
Anugerah ini mengiktiraf sumbangan serta kejayaan selebriti dalam dunia seni dan keusahawanan.
Dalam majlis yang sama, wartawan terkenal Syed Mohd Yusof Wafa Syed Nordin Wafa, atau lebih dikenali sebagai Syed Wafa, turut menerima Anugerah Wartawan Tinta Emas sebagai penghargaan terhadap pencapaiannya dalam dunia kewartawanan.
Sepanjang kerjayanya, Syed Wafa pernah menemubual ramai selebriti antarabangsa, termasuk legenda muzik pop Michael Jackson, Mariah Carey, dan pelakon Michael J. Fox.
Majlis ini turut memberi penghormatan kepada 55 individu yang cemerlang dalam bidang masing-masing, antaranya pelakon dan pengarah tersohor A.R. Badul, serta figura industri hiburan dan keusahawanan seperti Poey Sting dan Rina Eva.
Sebelum ini, DPDDM turut menyampaikan Anugerah & Watikah Usahawan Madani 2024 kepada 60 tokoh keusahawanan negara merentasi pelbagai sektor.

Anti buli di sekolah

Dalam perkembangan lain, Aaron kini aktif dalam kempen membanteras buli di sekolah. Sebagai duta anti-buli, beliau bakal terlibat dalam beberapa program kesedaran dari April hingga Jun.

“Saya akan sibuk dengan program anti-buli dalam beberapa bulan ini kerana buli di sekolah semakin menjadi-jadi. Saya harap dengan inisiatif ini, kita dapat memberi kesedaran kepada masyarakat dan membantu membanteras budaya buli," katanya.

BERITA TRENDING: ​Insiden Tembakan: Aaron Aziz Segera Ambil Anak Di SCM, Sempat Titip Pesanan - “Ingat Adik Jangan Pernah Panik Semasa Kecemasan”

Sementara itu, Majlis anugerah DPDDM turut menyaksikan pemeteraian MoU antara DPDDM dan ReSkills Edtech Sdn. Bhd., disaksikan oleh YM Tengku Datuk Dr. Hishamuddin Zaizi Y.A.M Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj.

Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal Hashmi, menegaskan bahawa kerjasama ini bertujuan menyediakan sistem pembelajaran percuma bagi memperkasakan golongan kurang berkemampuan, terutama belia B40, dengan kemahiran relevan dalam era pendigitalan.
Selain itu, beliau turut mengumumkan potensi besar Timor Leste sebagai destinasi pelaburan dalam sektor pertanian dan tenaga hijau, dengan DPDDM komited membantu usahawan meneroka peluang ekonomi di sana.
DPDDM juga menyasarkan untuk melahirkan 1,000 usahawan dalam tempoh enam bulan melalui pelbagai inisiatif pembangunan keusahawanan.
Dalam usaha memperkukuh ekonomi tempatan, DPDDM bekerjasama dengan Usahacaya Urus Sdn. Bhd. untuk Projek Usahawan Vending Machines bagi membantu golongan B40.
Sementara itu, Projek Usahawan Agro Tani dengan INSKEN akan mengusahakan Halia Bentong di kawasan seluas 100 hektar menggunakan teknologi IoT di bawah jenama Halia City.

#pelakon #Aaron Aziz #sekolah #Buli #Anugerah Bintang Usahawan Negara #DPMM