"Terima Kasih Malaysia!" - Ne-Yo Pukau 6,000 Peminat Di KL, Bergoyang Layan Lagu R&B 2000-an
Umirah Halim
14/11/2024 16:00 MYT
14/11/2024 16:00 MYT
Setelah sekian lama dinanti-nantikan, penyanyi R&B terkenal, NE-YO, tampil membuat kemunculan semula di Kuala Lumpur dengan konsert NE-YO: Live in Malaysia 2024 yang berlangsung pada 9 dan 10 November di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC).
Lebih 6,000 peminat berhibur
Bagai kembali ke zaman keemasan muzik R&B awal 2000-an, persembahan Ne-Yo atau nama sebenarnya, Shaffer Chimere Smith, menyaksikan lebih 6,000 peminat bersorak sakan sambil menikmati persembahan yang sangat menghiburkan.
"Malaysia, saya sangat teruja dapat kembali ke sini. Terima kasih atas sokongan yang tidak pernah pudar," kata NE-YO sebelum memulakan persembahan di konsert tersebut.
Sebagai destinasi akhir untuk jelajah Asia-nya, NE-YO memulakan persembahan penuh bertenaga, menggabungkan lagu-lagu hit klasik seperti “So Sick”, “Miss Independent”, dan “Mad”, bersama lagu-lagu party ikonik seperti “Give Me Everything” dan “Time of Our Lives”.
Tidak ketinggalan, penyanyi yang terkenal dengan lagu “One in a Million” ini turut sempat memainkan lagu single terbaru kolaborasinya bersama AFROJACK dan Pitbull, “2 The Moon”.
Sementara itu, penganjur acara, CEO Hitman Solutions, Rohit Rampal dan Kesavan Purusotman (KC), Pengarah Urusan Happymoon, menganggap kejayaan konsert ini menunjukkan betapa besarnya permintaan terhadap konsert artis antarabangsa di Malaysia.
“Kami melihat permintaan yang sangat tinggi daripada peminat untuk membawa NE-YO kembali.
“Pada tahun ini sahaja, tiket habis dijual dalam beberapa jam, dan kami berbangga dapat memenuhi permintaan ini dengan menambah satu lagi tarikh konsert," kata mereka menerusi satu kenyataan media.
Tambah mereka, tujuan konsert kali ini dilakukan bukan hanya untuk memberi peluang kepada peminat yang terlepas konsert tahun lalu, tetapi untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama untuk konsert artis-artis global.
“Kami merancang untuk membawa lebih banyak artis antarabangsa pada masa hadapan. Malaysia semakin dikenali sebagai lokasi utama untuk hiburan bertaraf dunia.
"Kami ada rancangan besar untuk tahun depan, jadi tunggu saja!” kata mereka.