Hiburan
"Teringin Nak Ada Anak Perempuan, Tapi..." - Rita Rudaini
Pelakon jelita Rita Rudaini mengakui dia teringin untuk menimang cahaya mata perempuan namun mahu dari zuriat sendiri.
Kata Rita, dia berkongsi rasa gembira dengan berita kehamilan beberapa selebriti terkenal tempatan seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Nora Danish.
"Seronok tengok orang mengandung sebenarnya. Dalam hati memang rasa teringin sangat nak ada anak perempuan.
"Tetapi, semuanya saya serahkan kepada rezeki Allah.
"Kalau ditanya tentang anak angkat rasanya belum sampai masanya lagi sebab saya mahu zuriat itu daripada darah daging saya sendiri.
"Sebab itulah saya membela seekor kucing betina bernama Dahlia. Bolehlah buat peneman," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Safi Rania Gold Beetox di St. Giles, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Biarpun dua kali melalui fasa perceraian, Rita memberitahu dia tidak serik untuk berkahwin lagi.
"Sehingga sekarang saya masih solo dan tidak serik pun untuk berkahwin. Cuma hakikatnya saya tidak mencari.
"Bagi saya, kehidupan saya kini bahagia di samping anak-anak dan jika Allah hantarkan jodoh kepada saya, biarlah dia jadi yang terbaik untuk anak-anak saya," tambahnya.
Rita bercerai talak satu dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak pada tahun 2013 selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan itu, Rita dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Airit Rayyan Rizqin, 8, dan Airit Qaqa Arjuna, 4.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @ritrud727