Hiburan
"Terkejut Bila Dia Tutup Dengan Berlapis-Lapis Kain" - Sakinah Jumpa Hubabah Huda, Cakap Pasal Aurat & Akhlak, Tapi Nabila Huda Pula Yang ...
Pelakon Sharifah Sakinah berkongsi momen bermakna apabila berkesempatan bertemu dengan pendakwah muslimat Hubabah Huda Al-Jailani semalam.
Kata Sakinah, dalam pertemuan itu dia banyak belajar mengenai akhlak dan aurat pada masa sama menjentik hatinya tentang pendekatan yang dilakukan Hubabah untuk berdakwah.
"Saya berkesempatan meluangkan masa yang sangat bermakna bersama Hubabah Huda semalam dan kami bercerita mengenai beberapa perkara.
"Dia dengan penuh berhikmah menasihati saya untuk menjaga aurat dan akhlak.
"Ketika saya meminta untuk bergambar bersamanya untuk diletakkan dalam Instagram, saya terkejut apabila dia menutup dirinya dengan berlapis-lapis kain.
"Ini membuktikan betapa dia sangat menjaga tentang aurat dan sangat memberikan inspirasi," tulis Sakinah.
Tambahnya, tindakan Hubabah itu juga dirasakan lebih bermakna berbanding teguran bersifat kecaman daripada netizen.
"Ini lebih efisyen berbanding teguran sesama umat daripada netizen yang lantang.
"Dia datang bertemu dengan saya, bercakap baik-baik dan mempraktikkan dakwahnya. Ia sangat menyentuh hati saya. Terima kasih Hubabah," ujar Sakinah.
Perkongsian bermanfaat Sakinah itu mendapat respon positif daripada kalangan peminat dan rakan selebriti.
Namun, masih ada sebilangan kecil netizen yang terus menghentam Sakinah hingga mencetuskan kemarahan pelakon Nabila Huda.
Tulis salah seorang pengguna; "Tapi esok masih post seksi-seksi di IG. Berinspirasi tapi masih sama tak guna juga, nampak macam kasar tapi kasar lagi azab kubur."
"Siapa kamu nak mengadili kawan saya dan menghukum apa yang dia post di Instagram? Kau sendiri pun tak tahu apa jadi masa depan kau tak payah nak sibuk. Jaga diri sendiri," balas Nabila.
Must-Watch Video