Pelakon Catriona Ross mengakui kesal dengan sikap sesetangah netizen yang cepat menjatuhkan hukum tanpa mengetahui perkara yang sebenar.

Menurut laporan BH Online, Catriona tampil menjelaskan perkara yang sebenar berhubung raut wajahnya yang berbeza dari muka asalnya sebelum ni.

“Saya pelik dengan sikap segelintir warganet yang begitu cepat melatah dan menilai hanya berdasarkan pemerhatian. Terlalu mudah mereka menjatuhkan hukum.

“Mengapa mereka tidak melatih diri supaya berprasangka baik terhadap orang lain? Jika begini sikap warganet, sampai bila-bila pun mereka akan terus mencari keburukan orang lain,” katanya.

Tambah Catriona, kritikan melulu itu menunjukkan betapa masyarakat terlalu mudah menghukum, sedangkan dia tidak pernah berhasrat mengubah wajahnya.

“Asalnya, saya hanya mahu berkongsi foto dan video wajah saya yang pelik selepas disunting menggunakan aplikasi popular.

“Saya sangkakan, pengikut akan ketawa melihatnya, tetapi sebaliknya pula berlaku. Ramai yang marah, malah memberi tazkirah pada saya kerana mengubah ciptaan Allah.

{BACA: “Kawan Cakap Kalau Buat Kat Korea Bagus, Sekali Ini Je Rupa I”- Apa Dah Jadi Dengan Wajah Catriona Ross?}

“Tidak sangka, semakin kita maju, semakin malas masyarakat mahu berfikir dan membaca. Semuanya sudah saya jelaskan pada keterangan gambar.

“Saya tidak terkesan dengan tanggapan mereka, cuma ralat kerana terlalu mudah segelintir masyarakat membuat kesimpulan hanya berdasarkan pemerhatian,” katanya.

Sebelum ini, orang ramai menyelar ‘perubahan’ pada wajahnya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di Instagram, baru-baru ini.

Untuk rekod, Catriona mendirikan rumah tangga dengan Shaharuddin Mokhtaruddin pada tahun 2009 telah dikurniakan tiga anak iaitu Sephia Rania, 9, Jammal Raess, 7, dan Edruce Riyadh, 4.