Pelakon Aishah Azman berkongsi keadaan ibunya, Hasliza Suza yang terpaksa menjalani pembedahan skop (scope surgery) pada hari Selasa lalu.

Menurut Aishah doktor mengesyaki ibunya menghidap kanser selepas wujud bintik merah di bahagian paru-paru.

"Ibu memang mempunyai penyakit tiga serangkai iaitu penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

"Pada mulanya ibu hanya pergi untuk melakukan pemeriksaan namun selepas itu doktor nampak ada bintik merah di bahagian paru-parunya.

"Bila wujud bintik merah itu, doktor syak ia adalah kanser. Sebab itu doktor buat keputusan untuk menjalankan pembedahan skop bagi mendapatkan keputusan yang betul.

"Pembedahan dah selesai tapi ada bintik merah di bahagian muka ibu. Doktor cakap ia disebabkan alergik dengan ubat," katanya kepada Gempak.

Aishah ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Suri Katriana yang diadakan di Restoran My Elephant Thai, Great Eastern Mall, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Pemilik nama Nor Aishah Afika Azman Shah ini menyatakan hasil keputusan akan diperoleh dalam masa terdekat ini.

"Insya-Allah dalam masa terdekat ini akan dapat keputusan daripada doktor.

"Saya harap ibu saya berada dalam keadaan baik serta dijauhkan daripada penyakit yang berbahaya," tambahnya lagi.

Aishah kini sibuk menjalani penggambaran drama Suri Katriana arahan Pali Yahya.

Selain Aishah, drama Suri Katriana turut dibintangi pelakon hebat iaitu Ummi Nazeera, Ernie Zakri, Hasnul Rahmat, Zul Huzaimy, Nazim Othman, Rozita Che Wan, Nadiyaa Nisa dan ramai lagi.

Drama Suri Katriana akan mula ditayangkan mulai 29 Oktober 2019 jam 6 petang di Astro Prima (saluran 105) dan Prima HD (saluran 121).