Susulan penutupan perniagaan air balang yang diusahakannya, pengarah berbakat Syahmi Sazli terpaksa melepaskan pekerja-pekerjanya yang seramai 15 orang.

Menurut Syahmi, dia sangat menghargai semua pekerjanya dan berterima kasih di atas dedikasi yang ditunjukkan sepanjang mereka berniaga.

“Terima kasih pekerja ku, Insya Allah ada rezeki kita bekerjasama lagi,” ujarnya.

Menerusi laman sosial Instagram, Syahmi turut berkongsi sebuah video momen terakhir bersama para pekerjanya.

Malah sebagai saguhati terakhir, pengarah filem Mael Totey itu turut memberi gaji mingguan berjumlah RM1,000 pada setiap pekerjanya.

“Untuk hari ni kita dapat sebanyak RM19,000 jualan. Malangnya kita takda rezeki nak meneruskan jualan air balang kita ni. Selepas dua bulan, setakat ini dulu, selepas beberapa isu dan faktor.

“Kita putuskan untuk berhenti di sini. Tapi kesianlah dekat pekerja ni, berhenti mengejut. Selalunya ada notis.

“Jadi sebabkan kesian dekat korang, biasanya seminggu dapat gaji 2,3 ratus kan. Hari ni 15 orang ni, kita bagi RM1,000 sorang. Sementara kita buka pulak, ada la duit untuk perbelanjaan,” ujar Syahmi.

View this post on Instagram

A post shared by Syahmi Sazli (@syahmisazli)


Di dalam perkongsian berdurasi hampir dua minit itu lagi menunjukkan pekerjanya sangat gembira mendapat duit sagu hati yang diberikan secara tunai.

Sementara itu di ruangan komen, rata-rata wargamaya memberikan pujian terhadap Syahmi selaku majikan yang baik dan menghargai kakitangannya.

Ramai juga yang mendoakan agar Syahmi dimurahkan rezeki untuk membuka kembali perniagaan air balangnya yang cukup mendapat sambutan terutamanya pada bulan Ramadan lalu.

Semalam, Syahmi memutuskan untuk menutup perniagaannya berikutan rasa bimbang sekiranya gerainya itu mengganggu ruang parkir selain beberapa faktor lain lagi.

BACA: “Takut Terambil Hak Orang Lain” - Syahmi Sazli Ambil Keputusan Tutup Perniagaan Air Balang