Terpalit Isu DBKL, Afldlin Shauki Akui Ada Rakan Yang Mula Menjauh - “Memang ada yang Tiba-Tiba…”
Pelakon dan pengarah, Datuk Afldlin Shauki mengakui ada teman-teman selebriti yang cuba menjauhkan diri selepas keluar dakwaan salah laku berhubung perolehan projek bernilai RM4 juta di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Bila isu mula-mula timbul, saya ambil pendekatan untuk berdiam diri kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Saya mahu beri laluan kepada badan penyiasatan berkenaan untuk lakukan kerja mereka.
“Orang tuduh memang senang tetapi bila kita nak lawan semula, orang luar akan pandang enteng. Jadi saya diam dulu, dapatkan nasihat orang dalam parti dan mereka juga nasihatkan saya untuk berdiam diri,” kata Afdlin.
Dalam pada itu, Afdlin juga memberitahu bahawa dia sebenarnya sudah bersedia untuk membantu siasatan namun Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan kepadanya bahawa dia sudah tiada kaitan dengan kes berkenaan.
“Saya juga sudah bersedia untuk memberi kenyataan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tetapi tahu-tahu selepas solat di Masjid Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sudah umumkan bahawa saya tiada kaitan dengan kes ini,” tambahnya.
Enggan menuduh mana-mana pihak sebagai dalang, Afdlin bagaimanapun tidak menolak dakwaan ada yang cuba menjatuhkan reputasinya dan bersikap hasad dengki.