HIBURAN

Terpalit Isu DBKL, Afldlin Shauki Akui Ada Rakan Yang Mula Menjauh - “Memang ada yang Tiba-Tiba…”

Asyraf Roslan 17/03/2025 | 23:55 MYT

Pelakon dan pengarah, Datuk Afldlin Shauki mengakui ada teman-teman selebriti yang cuba menjauhkan diri selepas keluar dakwaan salah laku berhubung perolehan projek bernilai RM4 juta di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagaimanapun, dia tetap meluahkan rasa syukur kerana masih ada yang menghubunginya dan bertanya khabar.
“Memang ada yang tiba-tiba hilang, mungkin takut dikaitkan dengan saya atau masih ragu-ragu. Tapi ramai juga yang menghubungi dan menyatakan kepercayaan mereka kepada saya.
“Saya tahu siapa kawan, siapa bukan,” katanya kepada Gempak.
Pada masa sama, pelakon filem Papadom itu turut menjelaskan mengapa dia mengambil langkah untuk berdiam diri sebelum ini.
Katanya, dia mahu memberi laluan untuk pihak berwajib menjalankan mereka dan tidak mahu menganggu siasatan serta mengeruhkan lagi keadaan.

“Bila isu mula-mula timbul, saya ambil pendekatan untuk berdiam diri kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Saya mahu beri laluan kepada badan penyiasatan berkenaan untuk lakukan kerja mereka.

“Orang tuduh memang senang tetapi bila kita nak lawan semula, orang luar akan pandang enteng. Jadi saya diam dulu, dapatkan nasihat orang dalam parti dan mereka juga nasihatkan saya untuk berdiam diri,” kata Afdlin.

Dalam pada itu, Afdlin juga memberitahu bahawa dia sebenarnya sudah bersedia untuk membantu siasatan namun Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan kepadanya bahawa dia sudah tiada kaitan dengan kes berkenaan.

“Mereka beritahu saya, ada siasatan kerana ada laporan, tetapi bagi pihak DBKL sendiri kata saya tidak salah kerana sudah mengikut tatakelola dan tugas saya memang mencari dana untuk yayasan.

“Saya juga sudah bersedia untuk memberi kenyataan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tetapi tahu-tahu selepas solat di Masjid Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sudah umumkan bahawa saya tiada kaitan dengan kes ini,” tambahnya.

Enggan menuduh mana-mana pihak sebagai dalang, Afdlin bagaimanapun tidak menolak dakwaan ada yang cuba menjatuhkan reputasinya dan bersikap hasad dengki.

#pelakon #Pengarah #DBKL #Siasatan #Afldlin Shauki