Pelakon Hollywood, Cody Walker, 31, tampil memeriahkan acara Drive for Paul Drift Show by Drift Factory Malaysia yang berlangsung di Bandar Malaysia, Pengkalan TUDM, Sungai Besi pada Sabtu lalu.

Merupakan pengalaman pertamanya datang ke Malaysia, Cody membuat kunjungan di booth Todak Racing sekitar jam 2 petang dan perkara terbabit menambahkan keterujaan hadirin yang berkunjung.

Sedikit infomarsi mengenai Drive for Paul Drift Show by Drift Factory Malaysia, ia adalah sebuah acara pertunjukan kereta yang didaftarkan di bawah tabung DRIVE 4 PAUL dan diadakan bersempena memperingati Paul Walker yang merupakan megastar filem drifter terulung, Fast & Furious.

Thank you all for making yesterday such an amazing event and for supporting @reachoutww #Malaysia #carshow #roww

A post shared by Cody Walker (@codybwalker) on


Istimewanya mengenai pertunjukan ini berbanding persembahan kereta konvensional, unsur amal diterapkan, bertujuan mengumpul dana untuk disumbangkan kepada organisasi bantuan bencana, ROWW (Reach Out Worldwide), yang diasaskan oleh Paul sendiri.

Program terbabit disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi.



Menurut Pengasas merangkap Presiden Todak Racing, Mohamed Aizuddin Mohamed Khairi, pembabitan mereka dalam acara ini dilihat sebagai satu sokongan kepada industri permotoran negara.

"Pembabitan Todak Racing selaku salah satu penaja utama penganjuran Drive for Paul Drift Show by Drift Factory Malaysia merupakan satu permulaan untuk melangkah lebih jauh di dalam bidang permotoran tempatan seterusnya arena antarabangsa.

"Susulan dari kejayaan demi kejayaan yang dilakar, Todak terus memperkasakan jenama kami dengan melebarkan sayap dalam bidang permotoran di bawah rangkaian komuniti kami iaitu Todak Racing dan kami amat berbesar hati untuk memperkenalkan dua pelumba kami iaitu Mohamad Hafez Kamarudin dan Adni Shahrul.



"Kehadiran Cody juga memberikan semangat berbeza kepada acara ini dan ia membuatkan pengunjung yang hadir sangat gembira dan teruja. Selain Cody, dua artis naungan Todak Music iatu Shiha Zikir dan Razak A’ai turut memeriahkan acara," katanya lagi.

Pada 30 November 2013, Paul meninggal dunia dalam sebuah kemalangan jalan raya di Santa Clarita, utara Los Angeles, Amerika Syarikat.

Cody merupakan adik kepada Paul yang telah menyempurnakan bahagian babak terakhir filem Furious 7 setelah abangnya terlibat dalam kemalangan maut sewaktu pembikinan filem itu masih dijalankan.